KUALA LUMPUR 16 April - Indeks FBMKLCI bermula lemah minggu ini kesan peningkatan ketegangan geopolitik yang mendorong kepada jualan awal, walaupun beberapa pasaran ekuiti serantau menunjukkan tanda-tanda kestabilan pada penghujung hari dagangan.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, pada penghujung hari dagangan, indeks penanda aras jatuh 8.51 mata, atau 0.55%, untuk ditutup pada 1,542.53 mata.
"Penurunan itu diterajui oleh CelcomDigi Bhd, Axiata Group Bhd, Genting Bhd dan Sime Daby Plantation Bhd," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, penyusutan pasaran adalah sangat negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 993 berbanding 230.
"Sebanyak 4.28 bilion saham bernilai RM3.25 bilion bertukar tangan.
"Semua indeks sektor didagangkan lebih rendah semalam dengan diterajui sektor hartanah," katanya.
Maybank IB berkata, walaupun tindak balas terhadap saham mewah boleh diramal tetapi syarikat dengan modal sederhana dan kecil masing-masing jatuh 1.29% dan 1.65%.
"Dari segi teknikal, kami menjangkakan Indeks FBMKLCI berjulat antara 1,530 dan 1,560 mata hari ini, dengan sokongan pada 1,525 dan 1,508 mata," katanya.- DagangNews.com