KUALA LUMPUR 29 Okt - Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia bagi pengeluaran tempatan menyederhana kepada 4.9% pada September 2022 berbanding 6.8% yang direkodkan pada Ogos 2022.
IHPR adalah petunjuk yang mencerminkan kos di pihak pengeluar dan mencerminkan bahawa pengguna akan terpaksa membayar lebih apabila membeli barangan siap sekiranya IHPR melonjak tinggi.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bacaan lebih rendah ini disumbangkan oleh indeks pembuatan dengan 8.1% (Ogos 2022: 9.4%), diikuti oleh indeks bekalan air (4.3%) serta bekalan elektrik dan gas (1.2%).
"Namun begitu, kenaikan ini diimbangi dengan penurunan indeks pertanian, perhutanan dan perikanan (-15.5%). Selain itu, indeks perlombongan kekal tidak berubah berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya," jelasnya dalam kenyataan semalam.
Berdasarkan asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan merekodkan penurunan selama empat bulan berturut-turut untuk mencatatkan -1.4% pada September 2022 (Ogos 2022: -0.2%).
Semua sektor mencatatkan penurunan kecuali indeks bekalan air yang meningkat 1.1% manakala ndeks pertanian, perhutanan dan perikanan mencatatkan -5.3% diikuti indeks perlombongan (-4.9%), pembuatan (-0.7%) serta bekalan elektrik dan gas (-0.2%).
IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan peningkatan 6.5% pada suku ketiga 2022, lebih rendah daripada 11.1% yang direkodkan pada suku kedua 2022.
Ini disumbangkan oleh indeks pembuatan (9.1%), perlombongan (4.9%), bekalan air (3.1%) serta bekalan elektrik dan gas (0.9%).
DOSM menjelaskan, bacaan ini turut diimbangi dengan penurunan 12.1% yang dicatatkan oleh indeks pertanian, perhutanan dan perikanan.
Bagi IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya terus mencatatkan penurunan dengan -6.4% pada September 2022 (Ogos 2022: -0.5%).
Selain itu, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen meningkat 10% (Ogos 2022: 11.3%) manakala indeks barang siap naik 3.1%.
Pada asas bulanan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya turun -5.4% diikuti indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen (-0.8%), namun indeks barang siap meningkat 0.2%. - DagangNews.com