Indeks harga pengeluar Oktober jatuh 3.6% | DagangNews Skip to main content

Indeks harga pengeluar Oktober jatuh 3.6%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Malaysia menyaksikan indeks harga pengeluar (IHPR) turun 3.6% pada bulan Oktober 2020 kepada 101.3 berbanding 105.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. 

 

Penurunan indeks keseluruhan didorong oleh indeks perlombongan (-43.5%), bekalan elektrik dan gas (-1.2%) dan pembuatan (-1.1%). 

 

Sebaliknya, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan serta bekalan air masing-masing meningkat 21.0% dan 1.0%.

 

“Bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan peningkatan marginal 0.1% pada Oktober 2020. 

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

“Peningkatan marginal ini disebabkan kenaikan indeks pertanian, perhutanan dan perikanan 1.1% dan pembuatan 0.3%. 

 

“Sementara itu, indeks perlombongan serta bekalan elektrik dan gas masing-masing susut 3.1% dan 0.4%. Selain itu, bekalan air tiada perubahan,” kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dalam siaran Indeks Harga Pengeluar Malaysia Oktober 2020 hari ini.

 

Indeks Harga Pengeluar

 

IHPR  pengeluaran  tempatan  bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020 turun 2.7% berbanding -2.6% pada tempoh yang sama bagi tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, berbanding bulan yang sama tahun lalu, kesemua peringkat pemprosesan menunjukkan penurunan. 

 

Kata Mohd. Uzir, bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya turun 13.2% diikuti bahan perantaraan,  bekalan dan komponen (1.6%) serta barang siap (0.8%).  

 

Indeks Harga Pengeluar

 

“Bagi perbandingan bulanan, bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya menunjukkan penurunan 1.7%. 

 

“Walau bagaimanapun, indeks bahan perantaraan,  bekalan  dan komponen meningkat 0.8% dan barang siap pula tidak berubah,” tambah beliau. - DagangNews.com