Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan naik 0.4% pada suku pertama  | DagangNews Skip to main content

Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan naik 0.4% pada suku pertama 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Mei - Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPrP) bagi suku tahun pertama 2021 (1Q21) meningkat 0.4% kepada 110.2 berbanding 109.8 pada suku yang sama tahun sebelumnya. 

 

Ini berdasarkan laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) hari ini, bagi mengukur purata perubahan harga perkhidmatan yang dikenakan oleh industri perkhidmatan tempatan di Malaysia. 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, subsektor utama yang menunjukkan kepada peningkatan indeks berkenaan ialah Penginapan dan Aktiviti Perkhidmatan Makanan & Minuman (1.4%), Aktiviti Hartanah (1.4%), Kesihatan (1.3%), Pendidikan (0.8%) dan Pengangkutan (0.1%).

 

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin

 

“Bagaimanapun, Kesenian, Hiburan & Rekreasi dan Maklumat & Komunikasi masing-masing menunjukkan penurunan 1.2% dan 0.1%. Indeks Profesional tidak berubah,” katanya dalam satu kenyataan berhubung laporan tersebut.

 

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan perbandingan suku tahunan menunjukkan indeks meningkat kepada 0.1%. 

 

Katanya lagi, peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor Kesenian, Hiburan & Rekreasi (1.0%), Pendidikan (0.4%), Aktiviti Hartanah (0.4%), Penginapan dan Aktiviti Perkhidmatan Makanan & Minuman (0.3%) dan Kesihatan (0.1%). 

 

Namun, indeks bagi Pengangkutan menurun 0.5% manakala subsektor Profesional dan Maklumat & Komunikasi tidak berubah, tambah beliau. - DagangNews.com