Indeks Harga Pengguna melonjak 2.2% pada Julai 2021  | DagangNews Skip to main content

Indeks Harga Pengguna melonjak 2.2% pada Julai 2021 

ANTARA faktor peningkatan sederhana itu adalah diskaun bil elektrik bulanan yang diberikan kepada pengguna domestik di bawah Pemulih. - Gambar hiasan oleh Firdaus Roslan
 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 2.2% kepada 122.5 pada Julai 2021 dan kekal positif untuk bulan keenam berturut-turut sejak Februari 2021 berikutan kesan asas rendah pada tahun lepas.

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), angka tersebut meningkat daripada 119.9 bagi tempoh sama tahun lepas dan merupakan pertumbuhan lebih menyederhana berbanding peningkatan 3.4% pada Jun 2021. 

 

Antara faktor peningkatan sederhana itu adalah diskaun bil elektrik bulanan yang diberikan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) untuk tempoh tiga bulan berkuat kuasa 1 Julai 2021.

 

“Bagaimanapun, IHP kekal positif memandangkan terdapat kenaikan harga minyak petrol dan diesel pada Julai 2021 berbanding setahun lepas,” kata DoSM seperti dilaporkan Bernama.

 

Sementara itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan IHP didorong terutamanya oleh kenaikan dua digit atau 11.6% dalam kumpulan pengangkutan berikutan penetapan harga siling petrol RON95 kepada RM2.05 seliter sejak Mac lepas berbanding harga purata RM1.69 pada Julai 2020. 

 

Ini diikuti oleh hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.7%); makanan dan minuman bukan alkohol (1.3%) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.7%).

 

Bagi tempoh tujuh bulan pertama 2021, IHP meningkat 2.3% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Mohd Uzir berkata, indeks teras pula meningkat 0.7% pada Julai 2021 berbanding bulan sama pada 2020. 

 

Ini didorong oleh kumpulan seperti hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.7%);  makanan dan minuman bukan alkohol (1.1%);  pengangkutan (1.0%); restoran dan hotel (0.7%);  perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.6%);  perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.6%); kesihatan (0.4%), pendidikan (0.1%) dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.1%). 

 

“Indeks teras ini meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali makanan segar yang mempunyai harga tidak menentu selain harga yang dikawal,” kata beliau.  

 

Selain itu, IHP tanpa bahan api bagi Julai 2021 meningkat 0.8%kepada 113.2 berbanding 112.3 pada bulan sama tahun sebelumnya. - DagangNews.com