Indeks harga pengguna Oktober 2020 turun 1.5% | DagangNews Skip to main content

Indeks harga pengguna Oktober 2020 turun 1.5%

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Indeks harga pengguna (IHP) menurun 1.5% pada Oktober 2020 kepada 120.2 berbanding 122.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. 

 

Penurunan IHP keseluruhan itu telah dipengaruhi oleh penurunan indeks pengangkutan (-10.2%), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-3.0%) serta pakaian dan kasut (-0.4%) yang menyumbang 41.6% daripada keseluruhan wajaran.

 

Bagaimanapun, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.5% kepada 135.3 berbanding 133.3 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

“Kumpulan ini menyumbang 29.5% daripada keseluruhan wajaran IHP. Selain itu, pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.8%, diikuti pendidikan (0.7%) serta minuman alkohol dan tembakau (0.5%),“ katanya dalam siaran Indeks Harga Pengguna Malaysia Oktober 2020.

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020 menurun 1.0% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Penurunan itu dipengaruhi oleh pengangkutan (-10.0%), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-1.5%) serta pakaian dan kasut (-0.8 %), kata Mohd. Uzir.

 

"Walaupun perubahan IHP tahunan menurun, perubahan IHP bulanan meningkat 0.1% berbanding September 2020. Peningkatan itu telah disumbangkan oleh  makanan dan minuman bukan alkohol (0.1%), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.1%) dan kesihatan (0.1%).

 

"Indeks makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.5% pada Oktober 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. Antara subkumpulan yang menunjukkan kenaikan adalah sayur-sayuran (4.2%), keluaran makanan yang tidak dikelaskan di mana-mana (2.6%), buah-buahan (2.3%), minyak dan lemak (1.9%) dan daging (1.7%).

 

"Antara indeks yang menunjukkan kenaikan harga tahun ke tahun di kebanyakan negeri adalah halia (22.0%), brokoli (11.3%) dan bawang besar (9.9%),“ tambah beliau.

 

Dalam pada itu, indeks makanan di luar rumah meningkat 1.8% pada Oktober 2020 berbanding Oktober 2019.

 

Kenaikan harga masakan berasaskan daging, masakan berasaskan ikan dan nasi lemak telah menyumbang kepada kenaikan indeks bagi subkumpulan itu.

 

Selain itu, IHP tanpa bahan api kekal berada pada kadar positif iaitu 0.1% pada Oktober 2020 berbanding Oktober 2019.

 

IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel.

 

Indeks teras pula meningkat 0.8% pada Oktober 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan itu adalah kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.8%), makan dan minuman bukan alkohol (1.3%), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.9%) dan pendidikan (0.7%).

 

Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal. – DagangNews.com