Indeks nilai seunit eksport menyusut 0.05% | DagangNews Skip to main content

Indeks nilai seunit eksport menyusut 0.05%

Eksport

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Indeks nilai seunit eksport negara menyusut 0.05% kepada 109.8 mata pada Julai 2020.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penyusutan tersebut adalah disebabkan oleh kejatuhan indeks minyak galian sebanyak -4.7%.

"Disebalik penyusutan itu, indeks volum eksport mencatatkan pertumbuhan sebanyak 11.8% kepada 158.4% mata didorong oleh kenaikan indeks minyak galian (+33.9%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+17.5%) dan pelbagai barang keluaran kilang (+6.1%).

"Bagi data pelarasan musim pula, indeks volum eksport mencatatkan peningkatan 1.7% kepada 153.7 mata," jelasnya dalam satu kenyataan berhubung statistik Indeks Nilai Seunit dan Indeks Volum mengikut Seksyen bagi eksport dan import barangan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini. 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin 

 

Tambah beliau lagi, berbanding tahun sebelumnya,  indeks nilai seunit eksport jatuh 4.8%, manakala indeks volum eksport naik 8.3%.

Sementara itu, indeks nilai seunit import pula merekodkan pengembangan 0.8% kepada 113.2 mata pada Julai 2020 berbanding bulan sebelumnya.

Pengembangan tersebut didorong oleh kenaikan paras minyak galian (+8.8%), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (+5.6%) serta bahan mentah tidak boleh dimakan (+0.9%).

Indeks volum import meningkat 7.9% kepada 135.3% disebabkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+15.6%), barangan keluaran kilang (+15.2%) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+8.7%).

Manakala bagi pelarasan musim, indeks volum import pada Julai 2020 menurun 0.7% kepada 130.8 mata.

"Kedua-dua indeks nilai seunit dan indeks volum import itu masing-masing mencatatkan penurunan 3.7% dan 5.1% berbanding tahun sebelumnya.

"Terma perdagangan Malaysia juga jatuh 0.9% kepada 96.9 mata berbanding Jun 2020," ujarnya.

Dalam penilaian tahun ke tahun, terma perdangangan Malaysia turut mencatatkan penyusutan sebanyak 1.2% daripada 98.1 mata. - DagangNews.com