Indeks pembuatan Malaysia terus merudum akibat COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Indeks pembuatan Malaysia terus merudum akibat COVID-19

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Sektor pembuatan Malaysia terus menunjukkan kemerosotan buat bulan keempat berturut-turut akibat peningkatan semula kes COVID-19 di negara ini. 

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia pada Oktober 2020 oleh IHS Markit menunjukkan penurunan kepada 48.5 daripada 49.0 pada September lalu. 

Skor PMI di bawah 50.0 menunjukkan penguncupan, manakala skor yang melebihi 50.0 menunjukkan pertumbuhan. 

Jelas IHS Markit, kes COVID-19 yang semakin meningkat serta pelaksanaan sekatan baharu di Malaysia merencatkan pemulihan dalam sektor pembuatan pada Oktober 2020. 

“Kedua-dua tempahan dan pengeluaran baharu diturunkan pada Oktober ke paras jauh lebih rendah berbanding September 2020. Perluasan dan pelaksanaan semula sekatan untuk membendung penularan COVID-19 dilaporkan sebagai faktor utama di sebalik permintaan pasaran yang lemah dan pengurangan pengeluaran. 

“Tempahan eksport baharu juga jatuh lebih rendah daripada jumlah perniagaan baharu ketika gangguan berterusan dalam permintaan antarabangsa akibat pandemik berkenaan. 

“Aliran masuk tempahan baharu yang lemah bermakna syarikat-syarikat dapat menguruskan tunggakan kerja mereka. Pengurangan perniagaan yang terhasil adalah paling tinggi sejak Disember 2018,” kata IHS Markit dalam kenyataan akhbar PMI Malaysia hari ini. 

PMI digunakan untuk menjangkakan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

Di Malaysia, perbandingan antara PMI dengan kadar pertumbuhan KDNK tahunan menunjukkan hubung kait yang tinggi iaitu 60%, dengan PMI bertindak sebagai petunjuk kebetulan pertumbuhan ekonomi.

Dalam pada itu, walaupun pemain industri yakin bahawa output akan meningkat pada tahun-tahun akan datang, namun keyakinan mereka menurun mendadak dari paras tertinggi pada September lalu akibat kes COVID-19 kian meningkat dan pelaksanaan kawalan pergerakan. 

 

Chris Williamson
Chris Williamson

 

“Lonjakan daripada kejatuhan ekonomi pada suku kedua lalu menunjukkan tanda kehilangan momentum memandangkan kita memasuki suku keempat. Kadar jangkitan COVID-19 dan kebimbangan yang meningkat susulan perintah berkurung di rumah dan pasaran eksport, menjejaskan buku tempahan dan keyakinan perniagaan. 

"Tekanan inflasi tetap baik, walaupun kekurangan bekalan terus berlanjutan dengan syarikat-syarikat bersaing dari segi harga secara agresif untuk meraih jualan. Pengawalan kos tetap menjadi tumpuan, walaupun kadar pengangguran yang kembali sederhana pada bulan Oktober menggalakkan,” kata Ketua Ekonomi Perniagaan di IHS Markit, Chris Williamson. - DagangNews.com