KUALA LUMPUR 9 Sept - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 12.5% pada Julai 2022 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya yang merupakan kenaikan dua angka bagi bulan kedua berturut-turut.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pengembangan IPP itu dipacu oleh sektor pembuatan, elektrik dan perlombongan yang masing-masing mencatat peningkatan sebanyak 14.9%, 13.2% dan 3.2%.
Output sektor pembuatan meningkat 14.9% pada Julai 2022 selepas mencatat pertumbuhan 14.4% pada Jun 2022.
“Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan bagi tempoh itu adalah produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (73.6%), produk peralatan elektrik dan elektronik (17.3%) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (23.9%),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menyentuh kenaikan 3.2% pada Julai 2022 berbanding tempoh sama pada 2021, jabatan itu berkata, ia dipelopori oleh pengembangan sebanyak 12.6% dalam indeks gas asli manakala indeks minyak mentah dan kondensat merosot 8.6%.
Selain itu, industri berorientasikan domestik dan eksport masing-masing mencatat pertumbuhan sebanyak 30.9% dan 9.5%.
Menurutnya, IPP bagi Januari-Julai 2022 meningkat 6.6% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, didorong oleh indeks pembuatan (8.8%) dan indeks elektrik (6.1%) manakala indeks perlombongan susut 0.8%. - DagangNews.com