Indeks volum eksport September 2020 naik 19.6% | DagangNews Skip to main content

Indeks volum eksport September 2020 naik 19.6%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Indeks volum eksport bagi bulan September 2020 meningkat 19.6% berbanding tempoh sama pada tahun lalu. 

Bagi perbandingan bulan ke bulan, indeks itu turut menunjukkan peningkatan sebanyak 11.6% daripada 135.6 mata kepada 151.3 mata.

Ini disumbangkan oleh peningkatan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+20.6%), pelbagai barang keluaran kilang (+14.3%) dan bahan kimia (+13.3%). 

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Uzir Mahidin berkata, berasaskan bulan ke bulan, indeks nilai seunit eksport menunjukkan pertumbuhan positif 0.7% daripada 109.7 mata kepada 110.5 mata yang disebabkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+5.3%) serta minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (+5.3%). 

 

Uzir Mahidin
Uzir Mahidin

 

Indeks volum eksport pelarasan bermusim mencatatkan peningkatan 15.4% daripada 134.5 mata kepada 155.2 mata,” katanya dalam siaran Indeks Perdagangan Luar Negeri Malaysia, September 2020.

Dalam pada itu, indeks nilai seunit import merosot daripada 113.4 mata kepada 112.6 mata pada September 2020, susut 0.7% berbanding bulan sebelumnya. 

Kata Uzir, kemerosotan itu disebabkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-5.1%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.5%) serta pelbagai barang keluaran kilang (-0.2%).

Walau bagaimanapun, jelas Uzir, indeks volum import naik 2.3% kepada 135.2 mata berbanding 132.2 mata pada Ogos 2020. 

“Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan indeks barang-barang keluaran kilang (+10.2%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+5.5%) serta bahan kimia (+4.4%). Indeks volum import pelarasan bermusim pada September 2020 mencatatkan pertumbuhan 6.1% daripada 127.5 mata kepada 135.3 mata.

“Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit import susut 4.1% manakala indeks volum import bertumbuh 0.6%,” tambah Uzir. 

Sementara itu, terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 1.4% bulan ke bulan pada September 2020 kepada 98.1 mata berbanding 96.7 mata. 

Berasaskan tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia masih mencatatkan penyusutan dengan 0.9% daripada 99.0 mata. - DagangNews.com