KUALA LUMPUR 21 Dis - Semasa negara sedang bergelut dengan isu kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tahun lalu dengan mencari pihak-pihak yang bersalah, lain pula berlaku di negara jiran Indonesia.
Isu LCS menjadi modal politik pihak pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ketika itu untuk melemahkan lawan selain dikaitkan dengan penyelewengan dan salah guna kuasa.
Di Indonesia sebaliknya, ia melancarkan pembinaan sebuah kapal korvet buatan tempatan sepenuhnya yang mengambil masa 14 bulan untuk disiapkan.
Kapal kovet ini yang diberi nama KRI Bung Karno sempena Presiden pertama Indonesia mula dibina pada 9 Jun 2022 sebelum dilancarkan pada 19 April lalu.
Pentauliahan korvet KRI Bung Karno seterusnya dilakukan pada 1 Jun lalu serentak dengan Sambutan Hari Pancasila di republik berkenaan.
Apa yang menarik, kontrak pembinaan kapal kovet ini telah dianugerahkan kepada syarikat PT Karimun Anugrah Sejati pada 25 Mei 2022 dengan kos kira-kira RM90 juta.
Pemotongan besi dan peletakan tunas kapal kemudiannya dilaksanakan pada 9 Jun 2022.
Kapal yang dibuat di limbungan syarikat itu di Batam, Kepulauan Riau.
Ia juga merupakan korvet pertama sepenuhnya buatan negara Asia Tenggara yang dibina tanpa melibatkan kerjasama asing atau pemindahan teknologi.
Korvet sepanjang 73 meter itu dilengkapi dengan selaras meriam utama Oto Marlin 40mm keluaran Leonardo dan meriam automatik 20mm.
Sistem pertahanan udara jarak dekat MBDA Simbad juga akan dipasang pada kapal ini selain dengan sistem sonar dan persenjataan torpedo.
Kapal ini juga turut memuatkan fasiliti pendaratan helikopter dengan kelajuan maksimum 24 knot bersama 55 kru.
KRI Bung Karno dikelaskan sebagai kapal kovet dan kapal kepresidenan Tentera Laut Indonesia yang sebelum ini digalas oleh KRI Barakuda.
Sebagai kapal kepresidenan, ia mempunyai tempat khas untuk pemimpin negara yang kalis peluru dan boleh dijadikan sebagai kapal pemerintahan sekiranya diperlukan.
KRI Bung Karno dengan nombor penant 369 akan ditempatkan di armada Tanjung Pinang, Kepulauan Riau.
Apa yang perlu diperhatikan di sini ialah bagaimana dalam tempoh 14 bulan bermula daripada kontrak diberikan pihak tentera laut dan pengurusan syarikat tidak berdepan masalah untuk menyiapkan kapal tersebut.
Walaupun PT Karimun Anugrah Sejati merupakan sebuah syarikat kecil tetapi ia mampu melaksanakan kerja-kerja pembinaan dengan kemahiran tenaga kerja tempatan.
Sebagai perbandingan, gergasi perkapalan Indonesia, PT PAL Persero pula diberikan kontrak untuk membina kapal-kapal perang yang lebih canggih dan besar.
Biarpun korvet KRI Bung Karno bukanlah sebuah kapal yang sarat dengan teknologi moden tetapi kemampuan industri perkapalan Indonesia mempunyai rekaan kapal sendiri perlu dikagumi.
Setidak-tidaknya industri pertahanan republik tersebut telah membuka mata banyak pihak di mana status kemampuan mereka.
Tidak salah sekiranya pihak berkuasa kita beralih pandangan ke sana melihat apa yang boleh dipelajari.- DagangNews.com