Industri minyak sawit tahun ini kekal positif - Firma | DagangNews Skip to main content

Industri minyak sawit tahun ini kekal positif - Firma

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Mac - Terdapat beberapa faktor akan mendorong peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih baik tahun ini, di sebalik beberapa cabaran semasa dalam sektor perladangan.

 

Dalam laporan tematik MIDF Research, firma penyelidikan itu menyemak semula harga MSM kepada RM3,000 satu tan metrik, 11% lebih tinggi berbanding sebelum ini, RM2,700 satu tan metrik. 

 

Malah, ia juga menaik taraf saranan sektor perladangan kepada positif berbanding neutral, sebelum ini.

 

"Kami melihat landskap semasa mendorong kenaikan harga MSM ini, antaranya kekangan bekalan minyak soya terutama dari Argentina menyebabkan harga minyak ini melonjak sekali gus memacu harga jualan MSM. 

 

"Selain itu, paras inventori minyak sawit yang lemah di Malaysia juga akan bertindak sebagai pemangkin kepada kenaikan harga," katanya.

 

Paras inventori dijangka kekal berada di bawah 2 juta tan metrik ekoran tempoh pengeluaran yang rendah. 

 

Dalam masa sama, situasi kekangan bekalan dijangka kekal berterusan sehingga suku kedua 2021 dengan mengambil kira pengeluaran yang lemah selepas mencapai paras puncak, ramal firma itu lagi.

 

"Namun begitu, kami menjangkakan pengeluaran kembali pulih pada separuh pertama 2021 tetapi masih di bawah paras potensi memandangkan Malaysia terlalu bergantung kepada pekerja asing," katanya.

 

Bagi pasaran eksport pula, MIDF Research berkata, permintaan akan kembali meningkat didorong oleh pemulihan aktiviti ekonomi secara berperingkat di India dan China dan meningkatkan semula stok menjelang Ramadan.

 

Sementara itu, CGS-CIMB dalam nota kajiannya mengulas mengenai unjuran optimis penganalisis terhadap harga MSM pada Persidangan dan Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik 2021 (POC 2021) secara maya semalam. 

 

"Kami menganggarkan unjuran harga MSM yang dibuat 3 penganalisis pada persidangan itu sekitar RM3,424 satu tan metrik bagi tahun ini. 

 

"Unjuran lebih optimistik ini adalah 18% lebih tinggi berbanding jangkaan harga purata yang dibuat sebelum ini pada RM2,900 satu tan metrik," katanya. 

 

Bagaimanapun, masih terdapat risiko penurunan daripada harga MSM semasa pada RM4,072.50 satu tan metrik. 

 

Firma itu mengekalkan saranan neutral terhadap sektor berkenaan.

 

Semalam, persidangan itu yang turut dihadiri penganalisis CGS-CIMB, penganalisis membuat unjuran harga MSM akan kekal kukuh pada separuh pertama ekoran kekangan bekalan, permintaan kukuh dan kecairan mencukupi dalam pasaran kewangan. 

 

Bahkan, ketiga-tiga penganalisis mengunjurkan harga MSM akan berlegar pada purata antara RM3,300 hingga RM3,500 satu tan metrik tahun ini. - DagangNews.com