Industri pelancongan kembali bernafas sebagai penjana pendapatan negara | DagangNews Skip to main content

Industri pelancongan kembali bernafas sebagai penjana pendapatan negara

Lata Tembakah Besut Terengganu. Gambar oleh @kovin_2196
Oleh Marziah Mokhtar & Siti Mariam Melissa Abdullah

SEKTOR pelancongan adalah satu daripada sektor yang lumpuh dan terkesan akibat penutupan sempadan ketika pandemik COVID-19 menyebabkan negara mencatat kerugian yang besar.

 

Kini kerajaan berusaha mempergiat semula sektor perlancongan untuk pulih beroperasi dengan lebih efisien dan kos efektif.

 

Komitmen kerajaan untuk membangunkan sektor yang kaya dengan keindahan semulajadi dan kepelbagaian budaya ini dapat dilihat apabila peruntukan sebanyak RM200 juta menerusi Bajet 2023 bagi tujuan galakan, promosi dan pemasaran.

 

Sumbangan Sektor Pelancongan

Sektor pelancongan merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi negara. Ia memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, merupakan komponen utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan negara serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.

 

Sektor ini telah menyumbang sebanyak RM86.14 bilion kepada pendapatan negara pada tahun 2019 dengan ketibaan 26.1 juta pelancong antarabangsa sebelum isu kesihatan melanda dunia.

 

Peruntukan yang tinggi dalam Bajet 2023 bagi mengurus dan pembangunan sektor pelancongan, seni dan budaya, menunjukkan kesinambungan usaha kerajaan dalam memantapkan semula sektor ini.

 

Tahun hadapan, kerajaan menyasarkan ketibaan pelancong asing lebih daripada 15 juta pelancong dengan nilai pendapatan RM47.6 bilion.

 

Ketika pandemik berleluasa, Malaysia seperti negara lain juga telah menghadkan kedatangan pelancong antarabangsa melalui penutupan sempadan, sekatan perjalanan dengan kawalan ketat. Pelbagai langkah keselamatan yang diambil itu telah menyebabkan penurunan mendadak dalam jumlah pelancong antarabangsa yang berkunjung ke negara ini.

 

Pengurangan pelancong dalam negeri pula dapat dikaitkan dengan sekatan pergerakan domestik juga telah memberi kesan kepada perjalanan dalam negeri. Banyak pengembaraan dan percutian domestik terpaksa ditangguhkan kerana kebimbangan keselamatan.

 

Tempat lawatan dan tarikan pelancongan telah ditutup untuk sementara waktu atau mengalami pengurangan operasi untuk mengawal risiko penyebaran virus.

 

 

parafrasa

 

 

Kini rakyat Malaysia dapat menarik nafas lega apabila pelancongan domestik menujukkan tanda positif dan juga ketibaan pelancong asing telah meningkat akibat pemulihan ekonomi.

 

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), prestasi pelancongan domestik di Malaysia mengalami pemulihan yang luar biasa pada 2022 dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM64.1 bilion berbanding RM18.4 bilion pada 2021.

 

Daya Tarikan Pelancong

Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030, menyatakan hasrat Malaysia untuk memperkukuhkan daya saing, pembangunan lestari dan pendigitalan dalam industri pelancongan.

 

Tahun 2023 ini disasarkan kemasukan pelancong asing seramai 16.1 juta orang. Jumlah ini berdasarkan matlamat pelancongan negara menjana sebanyak RM49.2 bilion dari perbelanjaan pelancong asing di negara ini.

 

Malaysia adalah destinasi pelancongan yang popular di Asia Tenggara dengan pelbagai tarikan menarik untuk pelancong dari seluruh dunia.

 

Terdapat beberapa aspek penting tentang sektor pelancongan di Malaysia yang dapat memberikan pengalaman yang unik kepada pelancong luar dan dalam negara.

 

Malaysia mempunyai pelbagai destinasi semulajadi yang menarik seperti pulau iaitu Pulau Langkawi, Pulau Pinang, Pulau Perhentian dan Pulau Redang. Tanah tinggi dan gunung seperti Gunung Kinabalu, Cameron Highlands dan Fraser Hill.

 

Sementara itu hutan tropika kita juga penuh dengan flora dan fauna yang unik seperti yang terdapat di taman-taman negara. Setiap destinasi ini menawarkan pengalaman yang memukaukan termasuk pantai yang indah.


 

parafrasa
Memanjat gunung di Gua Ikan Dabong, Kelantan.

 


Pada peringkat dunai pula, Bandar Melaka telah diiktifarkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Pulau Langkawi sebagai UNESCO Global Geopark.

 

Malaysia juga kaya dengan kepelbagaian budaya dan agama yang memberi peluang kepada pelancong untuk menyaksikan pelbagai perayaan tradisional seperti Hari Raya, Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Gawai, Pesta Keamatan, Hari Wesak dan banyak lagi. Kemeriahan dan semangat muhibbah yang ditunjukkan oleh semua kaum dalam meraikan sesuatu perayaan tidak dapat dicari dimana-mana pun di dunia ini.

 

Seterusnya, Malaysia terkenal sebagai syurga makanan kerana kepelbagaian bangsa yang majmuk kaya dengan resepi dan citarasa yang berbeza. Oleh itu, pelancong boleh menikmati pelbagai hidangan lazat seperti nasi lemak, nasi kandar, roti canai, pelbagai rasa mee, tomyam, char koay teow, dim sum dan dengan rasa yang pedas, manis atau masam manis yang membuka selera.

 

Kini, Malaysia semakin terkenal sebagai destinasi pelancongan perubatan. Pelancongan perubatan merujuk kepada orang dari luar negara yang datang ke Malaysia untuk menerima rawatan perubatan. Antara rawatan yang yang dicari adalah rawatan kardiologi, kesuburan, onkologi, ortopedik, neurologi dan lain-lain. Rawatan perubatan yang disediakan adalah yang berkualiti dengan kos yang lebih rendah berbanding negara-negara barat.

 

Selain dari itu, Malaysia mempunyai infrastruktur pelancongan yang baik, termasuk lapangan terbang antarabangsa, hotel-hotel bertaraf dunia, dan kemudahan pelancongan yang moden.

 

Kesan Kejatuhan Pertukaran Asing

Kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia (MYR) telah memberi kesan yang siginifikan terhadap industri pelancongan di Malaysia. Sebagai contoh, dengan nilai Ringgit Malaysia yang lemah, pelancong asing akan mendapati bahawa kuasa beli atau perbelanjaan mereka menjadi lebih murah secara perbandingan dalam mata wang asing mereka.

 

Ini boleh menyebabkan peningkatan dalam kedatangan pelancong asing berkunjung ke negara ini kerana kos melancong atau lawatan menjadi lebih rendah dan berupaya berbelanja dengan lebih mewah semasa berada di Malaysia.

 

Kejatuhan Ringgit Malaysia juga boleh menjadikan pelancongan dalam negara lebih menarik bagi penduduk tempatan jika dibandingkan melancong ke luar negara. Apa yang dimaksudkan adalah sekiranya rakyat Malaysia berkunjung ke luar negara dan berbelanja, mereka perlu mengeluarkan wang yang lebih kerana nilai matawang negara yang rendah.

 

Oleh yang demikian, fokus beralih kepada peIancongan domestik dan ini membantu meningkatkan permintaan untuk destinasi pelancongan tempatan dan memberi sokongan kepada industri pelancongan Malaysia. Kesan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia dapat dilihat mempengaruhi industri pelancongan secara langsung.


 

parafrasa
Empangan Cherandong di Kuala Kubu Bharu di Selangor

 


Penglibatan Sub-sektor Industri berkaitan Pelancongan

Ramai kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan apabila perniagaan berkaitan pelancongan terjejas teruk. Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), mendedahkan, sektor perhotelan kerugian lebih RM7 bilion tahun lalu dan RM6.5 bilion pada 2020, sedangkan sektor pelancongan adalah antara penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebelum COVID-19 melanda dunia.

 

Statistik juga menunjukkan sektor pelancongan memberi pulangan besar kepada sub sektor yang berkaitan seperti peruncitan, pengangkutan serta makanan dan minuman.

 

Sektor pelancongan jika diperincikan dapat menjana pendapatan melalui perbelanjaan pelancong, cukai pelancongan, pelaburan pelancongan dan eksport perkhidmatan pelancongan.

 

Antara jenis pekerjaan dan perniagaan yang berkaitan dengan aktiviti pelancongan adalah seperti perkhidmatan pengangkutan, pemandu pelancong, jurugambar, perhotelan atau pengusaha rumah inap dan restoran. Selain dari penjanaan pendapatan melalui perkhidmatan, sektor ini juga mampu menjana hasil melalui produk seperti penjualan cenderahati.

 

Secara am, keupayaan sektor ini meningkatkan pendapatan melalui penciptaan pekerjaan akan dapat menyumbang kepada mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan pendapatan negara.

              

Strategi mengembang industri Pelancongan

Salah satu langkah bijak dalam merancang strategi untuk merangsang pertumbuhan dalam industri pelancongan Malaysia selain dari membangun dan menggalakkan pelaburan secara umum ialah memberikan fokus kepada sub sektor pelancungan seperti pelancongan kesihatan dan ekopelancongan yang berbentuk pelancongan lestari.

 

Ekopelancongan menghidupkan pelancongan berasaskan alam semulajadi sesuatu kawasan termasuk budaya aslinya. Pada masa yang sama, ekopelancongan menitikberatkan kepada usaha meminimumkan kesan negatif pelancongan terhadap alam sekitar dengan memastikan bahawa aktiviti pelancongan tidak merosakkan atau memusnahkan alam semula jadi, termasuk habitat flora dan fauna serta ekosistem yang sekeliling.

 

Selain itu, ia melibatkan pendidikan dan kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar di kalangan pelancong dan komuniti tempatan. Pelancongan hijau menggalakkan interaksi positif antara pelancong dan komuniti setempat, menghormati dan menghargai budaya, adat istiadat, dan tradisi tempatan.


 

parafrasa

 


Inisiatif mesra alam bukan sahaja menarik pelancong yang mementingkan alam sekitar tetapi juga memastikan jangka hayat industri pelancongan.

 

Dengan melaksanakan strategi ini, Malaysia boleh mewujudkan pekerjaan dan persekitaran yang kondusif untuk meningkatan ekonomi serta memajukan sektor pelancongan malah ia memberi manfaat kepada komuniti setempat. Amalan pelancongan mampan digalakkan untuk memelihara alam sekitar, mempromosikan budaya tempatan dan warisan.

 

Industri pelancongan kesihatan merupakan sub-industri pelancongan di mana pelancong akan melancong ke negara-negara lain untuk menerima rawatan perubatan.

 

Ia melibatkan perjalanan ke destinasi tertentu untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan yang berkualiti tinggi, seringkali dengan kos yang lebih rendah atau akses kepada rawatan yang tidak tersedia atau terlalu mahal di negara asal. Pelancongan perubatan boleh merangkumi pelbagai jenis rawatan, termasuk pembedahan kosmetik, rawatan dermatologi, pembedahan ortopedik, rawatan kesuburan, dan banyak lagi.

 

Daya tarikan industri kesihatan Malaysia terserlah kerana negara ini mengutamakan keselamatan pesakit, termasuk kedudukan strategik kita sebagai negara yang mesra Muslim dan kewujudan pelbagai tarikan pelancongan. Negara-negara tertentu mempunyai kepakarannya yang tersendiri dalam industri kesihatan.

 

Sebagai contoh, Korea Selatan terkenal sebagai pusat pembedahan kosmetik dan ramai ke sana untuk melakukan pembedahan ini atas faktor kos, kepakaran dan kecanggihan peralatan perubatan.

 

Di Malaysia antara bidang kesihatan utama yang menjadi fokus pelancong adalah bidang onkologi, kardiologi, penyaringan kesihatan umum, ortopedik, rawatan kesuburan dan beberapa bidang yang lain.


 

parafrasa
Berkelah di Taman Rimba Komanwel, Rawang di Selangor.

 


Rumusan

Kesimpulannya, sektor pelancongan adalah pemangkin kepada ekonomi negara kerana memberi banyak manfaat kepada rakyat dan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi.

 

Sektor ini mewujudkan kesan pegandaan dalam pelbagai industri yang mencipta pekerjaan serta menjana pendapatan kepada sub sektor.

 

Melalui pemerkasaan sektor ini secara langsung negara juga menghargai alam semula jadi yang dikurniakan kepada Malaysia. - DagangNews.com

 
Marziah Mokhtar dan Siti Mariam Melissa Abdullah adalah Pensyarah Kanan (Ekonomi), Pusat Asasi, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil