KUALA LUMPUR 11 Mac – Kerajaan Sarawak perlu meningkatkan industri penerbangannya yang memainkan peranan penting bukan sahaja memacu industri pelancongan tetapi juga perniagaan ke negeri itu.
Penganalisis pelaburan dan ekonomi, Pankaj Kumar berkata, tidak seperti Sabah yang hanya mempunyai Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sarawak mempunyai dua lapangan terbang antarabangsa iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Miri (MIA).
Sarawak ujar beliau, telah melancarkan Pelan Tindakan dan Pelaksanaan bagi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 tahun lepas yang bakal menyaksikan negeri terbesar Malaysia itu menggandakan nilai ekonominya dengan unjuran KDNK sebanyak RM282 bilion menjelang 2030 daripada hanya RM136 bilion pada 2019.
''Walaupun kerajaan negeri telah menyediakan pelan hala tuju strategik untuk mencapai rancangannya dalam tempoh 10 tahun akan datang, adalah lebih penting bagi Sarawak untuk memiliki industri penerbangan yang jitu.
“Sebagai negeri terbesar di Malaysia, Sarawak berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab pelancongan di Borneo kerana kita telah melihat data yang menunjukkan ia mempunyai potensi pertumbuhan yang luar biasa dari segi ketibaan pelancong.
“Sebagai lapangan terbang antarabangsa, kedua-dua Kuching dan Miri akan mempunyai hubungan yang baik bandar antarabangsa yang terdekat seperti bandar-bandar di Indonesia, Filipina dan Australia dan sebahagian besar bandar dari Asia Utara seperti Shenzhen dan Haikou,” katanya dalam kenyataan di sini.
Pankaj berkata, lebih 5.95 juta dos vaksin telah diberikan kepada individu di seluruh Sarawak. Negeri ini turut mencatatkan kadar vaksinasi tertinggi bagi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini.
Dengan ekonomi yang telah dibuka, sudah tiba masanya untuk Sarawak mengatur strategi dan membawa lebih banyak ketibaan pelancong.
“Bagaimanapun, KKIA mempunyai penerbangan terus ke lebih banyak destinasi antarabangsa termasuk ke Bandar Sri Begawan, Tokyo (bermusim), Manila, Singapura, Busan, Seoul dan Taipei.
''Malah, sambungan ke dua bandar Korea Selatan itu menyaksikan Sabah menarik hampir 400,000 pelancong pada 2019.
''Bagi KIA, satu-satunya penerbangan terus yang tersedia adalah dari Bandar Sri Begawan, Singapura manakala bagi MIA, Scoot Tigerair kini merupakan satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan dua penerbangan terus dari Singapura ke Miri setiap minggu, walaupun status lapangan terbang itu adalah lapangan terbang antarabangsa,” katanya.
Pankaj berkata, kedua-dua KKIA dan KIA, serta MIA, mempunyai sambungan dengan pusat hubungan domestik dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru kerana ia adalah pintu masuk utama bagi rakyat Malaysia untuk mengembara ke Malaysia Timur. Walau bagaimanapun, sambungan dengan bandar antarabangsa jelas kurang.
Dari segi infrastruktur, Sarawak telah membelanjakan agak besar untuk infrastruktur lapangan terbang, terutamanya dengan lapangan terbang baharu di Mukah (pada Jun 2021) dan pelbagai ubah suai di lapangan terbang lain.
Bagaimanapun, Pankaj berpendapat bahawa dua lapangan terbang utama, KIA dan MIA memerlukan pelaburan lebih besar kerana kedua-duanya telah melebihi kapasiti sedia ada.
“KIA mengendalikan kira-kira 5.96 juta penumpang, manakala MIA menerima 2.43 juta penumpang pada 2019 manakala kapasiti reka bentuk kedua-dua lapangan terbang ini masing-masing pada 5 juta dan 2 juta.
''Kerajaan Persekutuan perlu menyediakan peruntukan untuk pembesaran kedua-dua lapangan terbang ini, terutamanya berkaitan sistem pengendalian bagasi, kaunter daftar masuk syarikat penerbangan, kaunter imigresen tambahan dan kawasan berlepas yang lebih besar serta menambah bilangan pintu masuk,’’ katanya.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Sarawak menyumbang kira-kira 9.5% daripada KDNK negara pada 2020 dan mempunyai potensi yang sangat besar terutama berkaitan industri pelancongannya.
Bagaimanapun, kerajaan, kedua-dua negeri dan Persekutuan perlu bekerjasama untuk membawa Sarawak ke peringkat seterusnya dengan sambungan yang lebih baik, keupayaan lapangan terbang yang lebih baik dan menjadikan Sarawak sebagai tarikan utama di Malaysia yang sebenar, kata Pankaj. – DagangNews.com