Industri penjagaan kesihatan akan terus menikmati perkembangan positif - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Industri penjagaan kesihatan akan terus menikmati perkembangan positif - Kenanga Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Sept - Kenanga Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor penjagaan kesihatan walaupun berlaku kemerosotan dalam musim kewangan 2QCY22 baru-baru ini.

 

Firma kewangan itu percaya bahawa industri pejagaan kesihatan akan terus menikmati perkembangan positif disokong perbelanjaan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat, peningkatan perlindungan insurans perubatan dan peningkatan usia penduduk.

 

IHH Healthcare Berhad menjadi pilihan utama firma itu berdasarkan kuasa menentukan harga selain kebolehan mereka melepas kos yang tinggi kesan daripada peningkatan inflasi.

 

"Permintaan yang tinggi terutamanya dari segi pembedahan elektif daripada pesakit domestik dan antarabangsa selepas keadaan menjadi lebih baik selain penguasaan pasaran di negara mereka beroperasi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kesan daripada tekanan inflasi, kumpulan itu akan menyemak semula kenaikan harga bagi 2HFY22 untuk disesuaikan dengan kenaikan kos semasa.

 

Di Turki, katanya, sumbangan daripada pesakit kekal kukuh pada 14% (kadar penghunian katil 73% lebih rendah sedikit disebabkan tempoh cuti umum panjang pada Mei 2022).

 

Sumbangan operasi Eropah daripada Acibadem meningkat kepada 32% daripada 28%.

 

"Di India, kemasukan pesakit bukan COVID-19 adalah lebih tinggi berbanding para COVID-10 dan kumpulan itu akan terus memacu penjimatan kos dan meningkatkan produktiviti serta meningkatkan nisbah penghunian katil pada 69% pada masa ini di negara itu," katanya.

 

Firma itu juga menyukai KPJ Healthcare kerana kemampuan mereka untuk melepaskan kos yang tinggi kesan kenaikan inflasi selain rangkaian hospital domestik yang luas membuatkan mereka berpeluang memanfaatkan skim insurans penjagaan kesihatan kebangsaan, sekiranya ia direalisasikan. - DagangNews.com