Industri perabot rugi RM1.6 bilion sejak pelaksanaan PKP 3.0 | DagangNews Skip to main content

Industri perabot rugi RM1.6 bilion sejak pelaksanaan PKP 3.0

 Industri perabot rugi RM1.6 bilion sejak pelaksanaan PKP 3.0. Gambar hiasan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Sektor industri perabot di Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM1.6 bilion sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) pada 1 Jun 2021.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerugian yang dialami itu disebabkan sektor berkenaan tidak dapat beroperasi seperti biasa.

 

"Sektor industri perabot adalah salah satu penyumbang utama kepada ekonomi domestik negara dengan nilai jualan sekitar RM9.6 bilion pada tahun 2019.

 

"Sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) pada 1 Jun 2021 sektor industri perabot telah mengalami kerugian sebanyak RM1.6 bilion disebabkan tidak dibenarkan beroperasi," katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi libat urus bersama sektor industri perabot negara yang diwakili oleh Malaysian Furniture Council (MFC), Kuala Lumpur and Selangor Furniture Association (KSFA), Johor Bahru Furniture Association (JBFA), Pahang Furniture Manufacturers and Traders Association (5P) dan syarikat-syarikat utama perabot di seluruh negara pada 5 Ogos 2021.

 

Turut hadir, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng.

 

Tambah beliau, sesi libat urus tersebut bertujuan untuk mendapatkan maklum balas terkini sektor industri perabot berkaitan kedudukan dan situasi semasa terutamanya sub-sektor pengedaran dan peruncitan perabot. 

 

Sehubungan itu, KPDNHEP telah menerima maklum balas serta cadangan berkaitan penambahbaikan SOP, kadar vaksinasi pekerja dan pembukaan semula sektor industri perabot dibawah Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

"KPDNHEP sangat prihatin dan mengambil maklum isu-isu yang telah dibangkitkan oleh sektor industri perabot dan akan memperhalusi setiap cadangan yang dikemukakan sebelum dibawa ke mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," tambahnya lagi.

 

Dalam sesi sama, beliau turut memberi penekanan agar sektor perabot negara bersiap sedia lebih awal sebelum pembukaan semula aktiviti ekonomi sepenuhnya dengan memastikan semua pekerja telah divaksinasi dan semua SOP di patuhi. - DagangNews.com