KUALA LUMPUR 25 Jan – Wabak COVID-19 telah memberi impak yang besar ke atas industri perkhidmatan, memaksa pembekal perkhidmatan meneroka peluang baharu, selain memotong kos, atau menukar haluan sama sekali.
Impak ini juga lebih mencabar bagi perniagaan kecil dan pekerja individu kerana kapasiti simpanan mereka yang lebih kecil.
Namun pada tahun 2021, tinjauan tahunan yang dijalankan oleh Recommend.my merungkai daya pemulihan yang cergas, di samping keyakinan yang optimistik bagi tahun 2022.
Sepanjang dua tahun yang lalu, industri perkhidmatan rumah dan setempat terpaksa menghadapi situasi pandemik.
Bagi memahami cabaran yang ditempuhi oleh pembekal perkhidmatan ketika pandemik, 18.4% didapati mengalami kesukaran mendapatkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran, 17.3 % terjejas teruk akibat kenaikan kos bahan (khususnya dalam sektor pembaikan rumah), 13.8% menyatakan bahawa mereka tidak pasti bagaimana situasi semasa akan mempengaruhi permintaan pelanggan.
Namun setelah ditinjau, lebih daripada separuh pembekal perkhidmatan berpangkalan di Malaysia yang mempunyai afiliasi dengan Recommend.my, iaitu platform perkhidmatan rumah dan setempat yang terkemuka di Malaysia, didapati berjaya memelihara atau meningkatkan aliran pendapatan mereka pada tahun 2021 jika dibandingkan dengan tahun 2020.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Recommend Group, Jes Min Lua berkata, pada tahun 2021, perubahan trend dalam perkhidmatan rumah dan setempat telah memberi impak yang besar ke atas industrinya.
Bagaimanapun kata beliau, menerusi tinjauan Recommend, 57.5% daripada pembekal perkhidmatannya didapati berjaya memelihara atau meningkatkan pendapatan mereka pada tahun 2021 berbanding tahun 2020.
‘’Ia menunjukkan bahawa tahun 2021 merupakan fasa pemulihan bagi pembekal perkhidmatan kami,” jelas beliau dalam kenyataan di sini hari ini.
Jika diteliti, 20.8 % daripada responden tinjauan ini didapati berjaya mengadaptasi dan meningkatkan pendapatan mereka sehingga 25%, manakala 9.2% responden telah meningkatkan pendapatan mereka sebanyak 25-50%.
Pada masa yang sama, lebih 17.5% daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ditinjau pula telah menyaksikan susutan pendapatan sebanyak lebih 50%.
Sektor pembaikan rumah lebih terjejas dengan situasi pandemik, khususnya kerana kenaikan kos material dan keengganan pengguna untuk membelanjakan wang.
Vendor penyenggaraan rumah bagaimanapun telah menyaksikan kenaikan dalam purata pendapatan kerana pengkhususan mereka dalam kerja-kerja pembaikan dan pemasangan yang ringkas.
Ia termasuk juruelektrik, pekerja rencam, juruteknik penyaman udara, dan tukang paip. Dan antara faktor penyumbang utamanya ialah kebanyakan kakitangan penyenggaraan rumah dapat meneruskan operasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) asalkan ia melibatkan kerja-kerja asas seperti kebocoran air dan gangguan bekalan elektrik misalnya.
Jes berkata, pihaknya menjangkakan bilangan projek perkhidmatan rumah dan setempat akan meningkat pada tahun 2022 berlatarkan 60% perniagaan yang optimistik bahawa industri ini akan pulih sepanjang tahun 2022.
Menurut beliau, pihaknya juga sedang mengambil langkah untuk mendapatkan lebih ramai pakar perkhidmatan berkualiti tinggi bagi memenuhi permintaan.
“Recommend Group telah menilai lebih 10,000 syarikat serta pakar perkhidmatan bertaraf persendirian di Malaysia dan sedang berganding bahu dengan mereka untuk menstandardkan skop serta harga perkhidmatan, menambah baik kualiti perkhidmatan, membolehkan bayaran tanpa tunai, dan menawarkan waranti perkhidmatan serta perlindungan insurans yang dapat meningkatkan keyakinan pengguna,” ujarnya.
Tinjauan ini telah melibatkan 120 PKS dalam industri perkhidmatan rumah dan setempat di Malaysia, dijalankan dari 15 - 28 Disember 2021. – DagangNews.com