Industri pertahanan maritim negara masih terkebelakang berbanding jiran [ANALISIS] | DagangNews Skip to main content

Industri pertahanan maritim negara masih terkebelakang berbanding jiran [ANALISIS]

Lapan buah kapal LMV kelas Independence Tentera Laut Republik Singapura yang dibina Singapore Technologies Marine (ST Marine).
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Penganugerahan kontrak pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) pada 2011 membuka dimensi baharu dalam industri pertahanan negara.

 

Ini kerana buat pertama kali sebuah syarikat tempatan diberi tanggungjawab untuk membina bukan sebuah tetapi enam kapal LCS yang berasaskan rekaan Gowind 3100 dari Perancis.

 

Jika siap kelak, LCS ini bakal menjadikan TLDM  antara pemilik kapal perang tercanggih di rantau Asia Tenggara kerana ciri-ciri pada kapal tersebut yang mempunyai keupayaan tempur empat dimensi.

 

Ini dapat mendokong keperluan TLDM dalam menyelenggara serta membaik pulih aset  strategik negara dan pada masa yang sama mengurangkan penggantungan pada negara luar. 

 

TERKINI LCS: Rakyat berhak tahu, kerajaan perlu telus - PM Ismail Sabri

 

Kontrak pembinaanya ditandatangani pada Julai 2014 di mana BNS dijadualkan membina kapal-kapal berkenaan dengan bantuan syarikat Perancis, DCNS bermula 2015.

 

BNS adalah anak syarikat Boustead Holdings Bhd. yang pemegang saham terbesarnya adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

 

Syarikat ini juga menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan sokongan logistik untuk TLDM.

 

LCS pertama sepatutnya diterima TLDM pada 2019 tetapi hanya 44 peratus siap, menurut laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).


 

LCS
Projek kapal LCS menyaksikan buat pertama kali syarikat perkapalan tempatan diberi tanggungjawab membina kapal perang canggih.

 


Berdasarkan laporan PAC, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS bagi projek runding terus itu, manakala pembinaan kapal keenam belum dimulakan.

 

Kelewatan pembinaan LCS mengecewakan rakyat yang mahukan TLDM memiliki keupayaan yang digeruni, apatah lagi dengan kekerapan pencerobohan kapal-kapal asing khususnya di Laut China Selatan.

 

Kini, LCS yang telah menjadi isu nasional mendedahkan satu persoalan iaitu sejauh manakah kemampuan syarikat tempatan untuk menerajui industri pertahanan maritim negara.

 

Pembinaan kapal-kapal kelas Maharajalela ini merupakan antara kapal baharu yang sepatutnya melengkapi armada TLDM menerusi Pelan Transformasi 15 Kepada 5.


 

LCS

 


LCS kelas Maharajalela sepanjang 111 meter dengan kelajuan sehingga 28 knot mampu belayar sejauh 5,000 batu nautika bersama 138 pegawai dan anak kapal dengan sistem persenjataan canggih.

 

SINGAPURA

Menoleh ke selatan, negara jiran Singapura yang merancang pembinaan lapan kapal misi pesisir (LMV) kelas Independence pada tahun 2013 menerusi firma tempatan, ST Engineering berjaya menyiapkan ke­semuanya mengikut jadual.

 

Ia bagi menggantikan 12 buah kapal peronda kelas Fearless yang juga dibina oleh firma pertahanan republik itu pada tahun 1995.

 

ST Marine juga membina enam buah frigat kelas Formidable (La Fayette) dengan kerjasama DCNS Perancis pada tahun 2002 dan siap pada 2009. 

 

Pada November 2021, ST Engineering telah dianugerahkan sub kontrak oleh Abu Dhabi Ship Building PJSC (ADSB) bagi rekaan, pembekalan alatan dan bantuan teknikal untuk pembinaan empat kapal ronda luar pesisir (OPV) Tentera Laut Emiriyah Arab Bersatu.

 

OPV kelas Falaj sepanjang 60 meter ini akan dibina berasaskan kapal peronda kelas Fearless milik Singapura.


 

LCS


Selain membina, ST Engineering juga melaksanakan kerja-kerja senggaraan serta meningkat upaya kapal-kapal perang tentera negara asing.

 

Antaranya Perancis, Brunei, Thailand dan Amerika Syarikat.

 

INDONESIA 

Turut memiliki industri pembinaan kapal yang hebat ialah negara jiran Indonesia menerusi syarikat PT PAL (Penataran Angkatan Laut) Persero yang kini berusia 42 tahun.

 

Limbungan perkapalan yang terletak di Surabaya, Jawa Timur ini menjadi pendukung dalam kebanyakan program perolehan kapal-kapal Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Laut (TNI - AL).

 

Sepertimana BNS diberi tanggungjawab membina kapal perang termoden untuk TLDM, PT PAL juga serupa apabila dianugerahkan kontrak kapal frigate kelas Martadinata yang dibina berasaskan rekaan SIGMA 10514.

 

Walaupun PT PAL mempunyai jurutera-jurutera mahir, namun mereka memutuskan untuk melaksanakan program pembinaan kapal ini secara bersama dengan pihak pengeluar asal di Belanda.

 

Kapal pertama, KRI Raden Eddy Martadinata dibina secara pemasangan modular oleh PT PAL di limbungan Surabaya.  

 

Sebanyak enam modular atau seksyen dibina iaitu empat oleh PT PAL dan dua di limbungan Damen Schelde Naval Shipbuilding, Netherland. 

 

Pembinaan dimulakan pada April 2014 sebelum kapal tersebut ditauliahkan pada April 2017 manakala kapal kedua KRI I Gusti Ngurah Rai (332) dibina pada 2016 dan siap dua tahun kemudian.


 

LCS
Kapal frigate class SIGMA 10514, KRI Raden Eddy Martadinata yang dibina secara usahasama antara PT PAL dan Damen Schelde Naval Shipbuilding, Belanda.

 


Tahap kejuruteraan marin PT PAL terbukti apabila ia terlibat dalam program pembinaan kapal selam TNI - AL di mana sebuah daripada tiga kapal tersebut dipasang di Surabaya.

 

Sepertimana Singapura, teknolgi perkapalan Indonesia juga berjaya menemui pasaran luar apabila PT PAL diberi kontrak AS$92 juta membina dua buah kapal untuk Tentera Laut Filipina pada 2015.

 

Dua kapal sokongan logistik jenis Landing Platform Dock (LPD) kelas Tarlac sepanjang 123 meter dan berat 7,200 tan ini siap dibina dalam tempoh tiga tahun.

 

Asalnya kapal kelas ini dibangunkan daripada LPD kelas Makassar seberat 12,000 tan milik TNI - AL yang direka oleh syarikat Daesun Shipbuilding & Engineering Co. dari Korea Selatan.

 

Selain KRI Makassar, kapal LPD kelas ini yang dibina PT PAL ialah KRI Surabaya, KRI Banjarmasin, KRI Banda Aceh dan KRI Semarang.

 

FILIPINA


 

LCS
Salah sebuah kapal LPD kelas Tarlac yang dibina PT PAL untuk Tentera Laut Filipina.

 


Pada 24 Jun lalu, Jabatan Pertahanan Negara Filipina menganugerahkan kontrak kedua pada PT PAL untuk membina dua buah lagi LPD jenis sama bagi melengkapi armada kapal logistik.

 

Kontrak tersebut dianggarkan bernilai kira-kira AS$110 juta.

 

Kemampuan PT PAL ini menunjukkan keberhasilan pemindahan teknologi menerusi kerjasama global yang berjalan dalam tempoh panjang.

 

Kejayaan tersebut membuktikan bagaimana visi untuk membangunkan keupayaan industri pertahanan negara dirancang dan akhirnya kualiti yang ditonjolkan dapat menembusi pasaran eksport.

 

Bukan sekadar isu keselamatan
 

Berdasarkan ketiga-tiga negara jiran di atas, adalah jelas dan genting bagi industri pertahanan maritim Malaysia perlu bangkit segera daripada isu yang membelenggunya sekarang.

 

Bukan sahaja ia penting kepada soal keselamatan perairan negara, pembinaan kapal perang ini ia mempunyai signifikan pada ekonomi negara melalui mencipta peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran dan menyumbang pada matlamat pembangunan negara. - DagangNews.com