KUALA LUMPUR 10 Feb - Industries Unite, gabungan 120 persatuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), institusi dan badan perdagangan Malaysia menggesa kerajaan menghentikan pelaksanaan kenaikan tarif elektrik sebanyak 18% untuk semua pengguna bukan domestik berkuat kuasa serta-merta.
“Kami menggesa kerajaan untuk tidak menguatkuasakan kenaikan elektrik yang tidak pernah berlaku sebelum ini kerana ia akan mendorong dan menetapkan kadar inflasi lebih tinggi seperti sekarang ini.
“Di samping itu, hampir tidak dapat dielakkan yang penguatkuasaan itu akan membebankan pengguna," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Gabungan itu berkata, kerajaan sebaliknya harus mengumumkan kenaikan secara berperingkat iaitu sebanyak 5% peratus setiap tahun pada 2022, 2023 dan 2024 dan memaklumkan secara umum tempoh masa pelaksanaan kenaikan tarif tersebut.
Industries Unite berkata, kerajaan juga perlu menubuhkan pasukan petugas industri bersama-sama dengan pihak berkepentingan industri bagi memantau kesinambungan perniagaan dan pertumbuhan industri di Malaysia.
Selain itu, ia berkata kerajaan perlu berkongsi langkah perundangan atau alternatif untuk industri meneroka penjimatan kos dan tenaga berserta langkah-langkah subsidi supaya ia tidak membebankan pasaran ekonomi secara amnya.
Pada 28 Januari, Suruhanjaya Tenaga mengumumkan surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak 3.7 sen per kilowatt jam bagi pengguna bukan domestik seperti industri dan komersial bagi tempoh Februari 2022 hingga Jun 2022. - DagangNews.com