KUALA LUMPUR 25 Julai - TA Securities meramalkan inflasi tahun ini berada pada paras 3.3% dengan andaian harga RON95 meningkat sebanyak 40 sen seliter bermula pada suku akhir tahun ini.
Katanya, kenaikan harga bahan api yang digunakan secara meluas itu berkemungkinan menyebabkan kesan inflasi yang lebih besar tetapi pertimbangan politik menyukarkan untuk menyatakan dengan pasti pemotongan subsidi itu akan berlaku.
"Bagaimanapun, sekiranya rasionalisasi subsidi itu tidak berlaku dalam tempoh terdekat ini, maka unjuran inflasi baharu mungkin jauh lebih rendah.
"Walaupun kami masih tidak pasti tentang pendirian tegas kerajaan mengenai perkara ini, kami percaya bahawa purata Indeks Harga Pengguna (CPI) tahun ini boleh menyusut dalam julat 2.5% hingga 3%, dengan titik tengah 2.7%.
"Di bawah senario ini, kita mungkin melihat harga meningkat kepada 2.6% pada separuh kedua tahun ini (1H24: 1.8%)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Inflasi Malaysia kekal 2% pada Jun 2024, sayur naik 6.2% - DOSM
Firma penyelidikan itu berkata, berhubung rasionalisasi subsidi bahan api, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyatakan, rasionalisasi subsidi RON95 tidak akan dilaksanakan buat masa ini, kerana kerajaan mahu memastikan orang ramai memahami sepenuhnya pelaksanaan subsidi diesel bersasar.
Sementara itu, TA Securities menjangkakan, kadar inflasi bagi Julai 2024 kekal terurus dan ia berkemungkinan sejajar dengan ramalan sebanyak 2.1%, selain kesan kenaikan harga diesel secara relatifnya adalah lebih rendah daripada anggaran.
Katanya, kestabilan itu boleh dikaitkan dengan pertumbuhan kos pengangkutan yang tidak berubah.
"Buat masa ini, harga semua jenis bahan api kekal tidak berubah. Aliran yang konsisten ini menunjukkan pertumbuhan tidak berubah dalam Indeks Pengangkutan dan segmen berkaitannya," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, bagi separuh pertama tahun ini, purata inflasi utama ialah 1.8% kepada 132.3 mata.
Katanya, penyumbang utama kepada trajektori ini ialah perkhidmatan restoran & penginapan (3.1%), perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (2.9%), Kesihatan (2.1%), dan makanan & minuman (1.9%). - DagangNews.com