Inflasi Malaysia berpotensi naik tahun hadapan kesan pelaksanaan subsidi bersasar, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Inflasi Malaysia berpotensi naik tahun hadapan kesan pelaksanaan subsidi bersasar, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Nov - Kadar inflasi Malaysia berpotensi meningkat pada 2024 berikutan pelaksanaan subsidi bersasar.

 

CGS-CIMB Research berkata, kerajaan sudah mula menarik balik subsidi ayam dan kawalan harga berkuat kuasa 1 November 2023 dan lebih banyak lagi akan dilaksanakan termasuk semakan semula tarif elektrik (mungkin pada Disember 2023) dan pelarasan harga bahan api bersubsidi (mungkin pada suku kedua 2024).

 

Katanya, kenyataan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menyebut kemungkinan kesan kepada 'keadaan permintaan' pada 2024 yang boleh membayangkan Bank Negara Malaysia (BNM) menjangka penggunaan tang lebih lemah.

 

"Kami mengunjurkan inflasi pada paras 2.8% bagi 2023 dan 2.5% pada 2024 sementara menunggu maklumat terkini mengenai langkah rasionalisasi subsidi kerajaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Tiada sebarang kenaikan, BNM kekal OPR pada kadar 3%

 

Firma penyelidikan itu berkata, BNM juga yakin bahawa langkah-langkah yang diumumkan di bawah Belanjawan 2024 akan memberikan ‘pendorong tambahan kepada aktiviti ekonomi’.

 

Katanya, bank pusat itu menambah bahawa mereka menjangkakan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia untuk 'kekal sederhana' pada 2024 walaupun ia menyatakan bahawa 'semakan kerajaan terhadap kawalan harga dan subsidi' akan memberi kesan kepada 'keadaan permintaan'.

 

"Kami berpendapat ini boleh menunjukkan bahawa BNM selesa dengan kemajuan ekonomi negara tetapi tetap berhati-hati dengan prospek ekonomi Malaysia pada tahun hadapan," katanya.

 

CGS-CIMB Research berkata, BNM yakin dengan prestasi ringgit berikutan 'penampan modal dan mudah tunai yang kukuh' negara yang berkemungkinan tidak memberi kesan kepada keputusannya terhadap kadar dasar semalaman (OPR).

 

"Kami mengekalkan saranan OPR kekal pada kadar 3% bagi 2024," katanya. - DagangNews.com