Inflasi Malaysia catat 1.8% pada Oktober 2023, terendah sejak April 2021 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Inflasi Malaysia catat 1.8% pada Oktober 2023, terendah sejak April 2021 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Nov - Inflasi Malaysia pada Oktober 2023 meningkat 1.8%, terendah sejak April 2021, dengan mata indeks mencatatkan 130.9 berbanding 128.6 pada bulan sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan inflasi itu didorong kenaikan lebih rendah bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol, 3.6% (September 2023: 3.9%). 

 

"Ini diikuti peningkatan perlahan kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.4%) (September 2023: 1.5%) dan pelbagai barangan & perkhidmatan (2.3%) (September 2023: 2.5%). 

 

"Sementara itu, antara kumpulan utama lain yang menyumbang kepada peningkatan lebih rendah berbanding September 2023 adalah kumpulan minuman alkohol & tembakau (0.6%) (September 2023: 0.7%) dan pakaian & kasut (0%) (September 2023: 0.1%)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5% daripada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 3.6%. Komponen makanan di rumah meningkat 2.1% berbanding 2.5% yang direkodkan bulan sebelumnya. 

 

Kenaikan komponen makanan di rumah adalah didorong terutamanya subkumpulan beras, roti & bijirin lain, 3.6% (September 2023: 4.1%). Ia diikuti subkumpulan susu, keju & telur dan daging masing-masing meningkat 3.1% dan 2.1%. 

 

Sementara itu, komponen makanan di luar rumah meningkat perlahan kepada 5.6% berbanding 5.9% yang direkodkan pada September 2023. Antara item yang menunjukkan peningkatan lebih perlahan adalah burger, ayam goreng dan murtabak.

 

 

dosm

 

 

Peningkatan inflasi subkumpulan beras, roti dan bijirin lain sebanyak 3.6% pada Oktober 2023 disumbangkan kenaikan kelas perbelanjaan beras sebanyak 5.3% (September 2023: 5.0%). 

 

Inflasi subkumpulan susu, keju dan telur meningkat perlahan kepada 3.1% pada Oktober 2023 (September 2023: 3.4%) dan ia didorong kelas perbelanjaan susu tepung dan keluaran susu lain yang mencatatkan kenaikan sebanyak 4% (September 2023: 4.1%).

 

Subkumpulan daging yang merangkumi daging ayam, daging lembu, daging babi, daging kambing, daging kerbau dan daging itik mereda kepada 2.1% pada Oktober 2023 (September 2023: 3.4%). 

 

Ayam yang merupakan komponen terbesar merangkumi 46.1% dalam subkumpulan daging mencatatkan penurunan negatif 0.7% berbanding 0.9% pada bulan September 2023. 

 

Purata harga Ayam standard di Malaysia menurun kepada RM10.02 sekilogram berbanding RM10.07 sekilogram pada bulan Oktober 2022 (September 2023: RM10.01). 

 

Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengumumkan pengapungan harga ayam bermula 1 November 2023 bagi mengelakkan ketirisan subsidi yang telah dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi selain untuk menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan.

 

Bagaimanapun, kerajaan masih meneruskan subsidi bagi telur gred A, B dan C.

 

Inflasi Pengangkutan tidak mencatatkan sebarang peningkatan pada Oktober 2023 (September 2023: -0.1%). Ia disumbangkan harga petrol RON97 yang ditetapkan pada Oktober 2023 adalah lebih rendah iaitu RM3.47 seliter berbanding RM3.96 seliter pada Oktober 2022 (September 2023: RM3.40 seliter). 

 

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.7%), Sarawak (2.5%), Perak (2.2%) dan Selangor (1.9%).

 

"Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan & minuman bukan alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan Putrajaya (5.2%), diikuti Sarawak (4.8%), Selangor (4.7%), Pulau Pinang (4.5%), Melaka (3.7%) dan Labuan (3.6%)," katanya.

 

Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.8%) adalah lebih rendah berbanding Filipina (4.9%), Republik Korea (3.8%), Vietnam (3.6%) dan Indonesia (2.6%). Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding China (-0.2%) dan Thailand (-0.3%). - DagangNews.com