Inflasi Malaysia perlahan kepada 1.5% pada November 2023 – DOSM | DagangNews Skip to main content

Inflasi Malaysia perlahan kepada 1.5% pada November 2023 – DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Dis - Inflasi Malaysia terus meningkat pada kadar perlahan kepada 1.5% bagi November 2023 dengan 130.9 mata indeks berbanding 129 pada bulan sama tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kadar inflasi ini telah didorong oleh peningkatan perlahan restoran dan hotel (4.3%); makanan dan minuman bukan alkohol, (2.6%) dan kesihatan (2.3%).

 

Selain itu, beberapa kumpulan utama yang menunjukkan peningkatan adalah perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.7%) serta pengangkutan (0.1%).

 

Menurut beliau, kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 % daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) telah merekodkan peningkatan perlahan iaitu 2.6%.

 

Jelasnya, komponen makanan di rumah meningkat 1.4% berbanding 2.1% yang direkodkan bulan sebelumnya didorong terutamanya oleh subkumpulan beras, roti dan bijirin lain (3.1%), diikuti subkumpulan susu, keju dan telur serta buah-buahan masing-masing naik 2.9% dan 2.8%.

 

“Sementara itu, komponen makanan di luar rumah mereda kepada 3.9% berbanding 5.6% yang direkodkan pada Oktober 2023. Antara item yang meningkat lebih rendah pada November 2023 adalah ayam goreng disebabkan kesan strategi promosi oleh industri rangkaian makanan segera,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

 

dosm

 

 

Mengulas tentang subkumpulan daging, ayam yang merupakan komponen terbesar merangkumi 46.1% kategori ini, mencatatkan penurunan negatif 4.6% berbanding negatif 0.7% pada bulan Oktober 2023.

 

Purata harga ayam standard di Malaysia menurun kepada RM9.96 sekilogram berbanding RM10.36 sekilogram pada November 2022 dan seiring dengan penurunan harga itu, purata harga ayam standard Semenanjung Malaysia turut menyusut kepada RM9.17 sekilogram berbanding RM9.83 sekilogram pada November 2022.

 

Bagi kadar inflasi di peringkat negeri, Mohd Uzir berkata kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 1.5%, kecuali lima negeri iaitu Putrajaya (2.3%), Sarawak (2%), Perak (1.9%), Pulau Pinang (1.8%) dan Selangor (1.7%).

 

“Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman bukan alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Pulau Pinang (3.7%), Sarawak (3.6%), Selangor (3.5%), Labuan (3.4%) dan Putrajaya (3%).

 

“Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan dan minuman bukan alkohol nasional iaitu 2.6% pada November 2023,” tambahnya.

 

Inflasi keseluruhan secara bulanan menunjukkan tiada perubahan pada November 2023 berbanding Oktober 2023 (0.1%), manakala inflasi teras pada 2%, masih melepasi inflasi keseluruhan Malaysia iaitu 1.5%.

 

Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.5%) adalah lebih rendah berbanding Filipina (4.1%), Vietnam (3.5%), Republik Korea (3.3%) dan Indonesia (2.9%), namun ia lebih tinggi berbanding Thailand (-0.4%) dan China (-0.5%).  - DagangNews.com