Infomina dijangka lancar produk baharu bagi kembangkan penawaran teknologi di peringkat global, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Infomina dijangka lancar produk baharu bagi kembangkan penawaran teknologi di peringkat global, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Julai - Infomina Bhd bersama rakan kongsinya dijangka melancarkan produk baharu bagi mengembangkan penawaran teknologi di peringkat domestik dan global.

 

AmInvestment Bank Bhd berkata, kumpulan itu juga akan mengubah model perniagaannya bagi memastikan kaedah pembayaran yang lebih baik dan mengurangkan risiko mata wang asing.

 

"Selain itu, kumpulan itu juga telah memperbadankan anak syarikat baharu bernama Infomina AI bagi memenuhi keperluan daripada industri kewangan, dengan kebanyakan pelanggannya mencari rumusan teknologi kewangan.

 

"Dengan inisiatif strategik ini, kumpulan itu berada pada kedudukan terbaik bagi memacu pertumbuhan pada masa akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, buku pesanan tertunggak Infomina pada akhir Mei 2024 berjumlah RM434.4 juta (1.28x hasil FY25), di mana 45% akan diiktiraf dalam FY25, 33% pada FY26F dan 22% pada FY27 dan seterusnya.

 

Katanya, sejumlah 85% daripada buku pesanan diperoleh daripada segmen operasi infrastruktur teknologi, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan (pembaharuan) dengan baki 15% dalam penyelesaian siap pakai.

 

Ini membawa kepada nisbah buku kepada bil sebanyak 1.34x berbanding hasil FY25 untuk segmen pembaharuan.

 

"Sejumlah 74% daripada buku pesanan berpunca daripada pasaran luar negara dengan baki 26% daripada kontrak tempatan.

 

"Segmen pembaharuan, yang melibatkan kontrak dari 2020-2021, kekal kukuh kerana kumpulan itu menambah kontrak ini, yang mempunyai tempoh purata tiga tahun. 

 

"Pasaran utama seperti Thailand dan Filipina terus mendapatkan pelanggan kontrak, memastikan perniagaan berulang yang konsisten dan berkembang," katanya.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) RM1.60 sesaham.- DagangNews.com