Inisiatif Aspirasi keluarga Malaysia 100 Hari pemangkin kejayaan KPI menteri | DagangNews Skip to main content

Inisiatif Aspirasi keluarga Malaysia 100 Hari pemangkin kejayaan KPI menteri

Oleh MOHD FAKRI AWANG LAH (Wartawan Bernama)

KUALA LUMPUR 9 Dis - Inisiatif Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari  yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri  Ismail Sabri Yaakob dilihat menjadi pemangkin kepada kejayaan pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) semua menteri di bawahnya sebelum tempoh yang disasar.

 

Bukan mudah bagi beliau memantau 31 menteri dengan 108 petunjuk prestasi utama (KPI) dan 140 sasaran, namun ketegasan kepimpinan yang ditonjolkan beliau dan keperibadian yang menyenangkan ramai menjadikan semua yang dirancang menjadi kenyataan.

 

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan perdana menteri memberi satu kelebihan kepada Ismail Sabri dalam menarik sokongan ramai terhadap kepimpinan dan pentadbiran beliau yang berusia 100 hari pada 9 Dis ini.

 

Sejak konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan, ia sentiasa meniti di bibir ramai yang menaruh keyakinan terdapat sinar di hujung terowong dalam pemulihan negara selepas ramai terkesan akibat COVID-19 yang melanda bukan sahaja Malaysia tetapi dunia.

 

“Paling diingati diminda rakyat ialah pentadbiran Ismail Sabri merupakan kerajaan yang membawa normalisasi kepada kehidupan mereka dengan pemberian kebenaran untuk merentas negeri pada 11 Oktober lalu setelah peratusan rakyat Malaysia dewasa yang lengkap divaksinasi telah mencapai 90%.

 

“Bayangkanlah kelegaan dan kegembiraan rakyat yang sejak 10 Mei lagi telah tidak dapat melakukan pergerakan merentas negeri untuk balik kampung berjumpa ibu bapa dan ahli keluarga yang telah lama berpisah dan melakukan pelbagai aktiviti kehidupan lain bila Ismail Sabri membuat pengumuman ini pada 10 Oktober lepas.

 

“Sebab itulah imej Ismail Sabri amat baik di mata rakyat kerana beliau dikaitkan dengan kejayaan program vaksinasi dengan pusat pemberian vaksin (PPV) terbesar di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur ditutup pada 3 Okt menandakan berakhirnya usaha vaksinasi besar-besaran di negara ini dan hari sama juga negara menyaksikan rekod kali pertama sejak 12 Julai kes harian COVID-19 berada di bawah 10,000 kes,” katanya.


 

Dr Kamarul Zaman Yusoff
                                      Dr Kamarul Zaman Yusoff

 

 

Ternyata keputusan perdana menteri  untuk meneruskan Pelan Pemulihan Negara bagi menangani COVID-19 menjadi bukti keprihatinan beliau dalam membawa keluar rakyat daripada keadaan pandemik kepada fasa endemik tidak lama lagi.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Jom sertai Hari Aspirasi Keluarga Malaysia 9-12 Disember 2021

 

Dalam kesibukan mengurus pentadbiran negara, beliau turut berjaya mengatasi kemelut politik yang membimbangkan semua termasuk Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sering kali bertitah mahu supaya kontroversi politik negara ditamatkan segera.

 

Kebolehan Ismail Sabri membawa pembangkang daripada Pakatan Harapan ke meja rundingan sehingga termeterainya memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada September lepas telah menyelamatkan rakyat daripada terus hidup dalam keadaan politik yang tidak menentu.

 

“Janji beliau untuk menurunkan suhu politik negara dengan bekerjasama dengan pembangkang menerusi MoU Transformasi dan Kestabilan Politik juga menjadi pertimbangan kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang lebih stabil ketika rakyat mula bangkit pasca COVID-19," kata Kamarul Zaman.

 

Malah, Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) UUM  itu berkata percaturan politik Ismail Sabri yang menyegarkan kembali suasana politik negara telah diterjemahkan oleh rakyat Melaka semasa pilihan raya negeri itu pada 20 Nov lepas apabila mengembalikan kekuasaan Barisan Nasional (BN) dengan kemenangan besar dan secara langsung menjadikan Melaka kubu kuat BN.

 

Penganalisis Politik dan Geostrategis Dr Azmi Hassan pula berkata kemenangan BN itu bukan sahaja mencerminkan sokongan orang Melayu tetapi juga orang
bukan Melayu yang memberi kemenangan kepada MCA dan MIC.

 

"Keputusan PRN Melaka yang memperlihatkan wakil MCA dan MIC menewaskan wakil DAP, saya melihatnya itu adalah penerimaan masyarakat bukan Melayu disebabkan pendekatan konsep Keluarga Malaysia hasil garapan Ismail Sabri,” katanya.

 

Azmi berkata ternyata konsep Keluarga Malaysia turut memainkan peranan atas kemenangan itu kerana ia sesuai dengan Melaka yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum Melayu, Cina, India, Chitty, Portugis dan lain-lain yang pentingkan kehidupan bahagia yang pernah dikecapi sebelum Pilihan Raya Umum 2018.


 

Dr Azmi Hassan
                                                     Dr Azmi Hassan

 

 

Kepimpinan Ismail Sabri juga dilihat antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan BN yang tidak seharusnya menidakkan peranan beliau yang disenangi pengundi Melaka hasil pelbagai bantuan yang disalur sepanjang COVID-19 yang menghidupkan kembali sektor ekonomi, perniagaan dan peluang pekerjaan.

 

Bajet 2022 yang memperuntukkan sejumlah RM8.2 bilion untuk manfaat 9.6 juta orang di bawah Bantuan Keluarga Malaysia memberi kelegaan kepada rakyat yang berterima kasih kepada perdana menteri walaupun itu adalah tugas beliau dalam memikul amanah rakyat bagi menjamin kesejahteraan mereka.

 

Ismail Sabri begitu prihatin terhadap keperluan rakyat dan antara buktinya adalah apabila berdepan isu terkini iaitu kenaikan harga barangan yang membuat beliau secara spontan beralih perhatian ke arah menangani masalah itu yang beliau dapat rasakan ia sesuatu yang perit ditanggung rakyat.

 

Sebagai pemimpin  yang membawa  konsep Keluarga Malaysia yang hidup bersatu padu dalam keadaan aman dan bahagia, tindakan tangkas beliau dalam menangani isu kenaikan harga barang membuktikan keseriusan beliau dalam memelihara keutuhan institusi kekeluargaan yang berbilang kaum.

 

Malah program Jualan Keluarga Malaysia yang diadakan secara serentak di seluruh negara ternyata meringankan beban rakyat dalam menghadapi kemelut harga
barang yang akan diatasi kerajaan bermula daripada peringkat sumber dan pengeluaran bahan. - DagangNews.com