Inisiatif BNM memperdalam pasaran swap kadar faedah  | DagangNews Skip to main content

Inisiatif BNM memperdalam pasaran swap kadar faedah 

 

 

KUALA LUMPUR 10 Mac - Bank Negara Malaysia (BNM) secara rundingan bersama ahli-ahli Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) telah mula melaksanakan pelbagai inisiatif pasaran untuk menggalakkan pasaran kewangan domestik yang mendalam dan aktif pada tahun-tahun kebelakangan ini.

 

Menurut bank pusat itu, pada November 2020, satu program perintis dilancarkan bagi memberikan fleksibiliti kepada bank peserta dalam negeri dan Pejabat Luar Negeri Dilantik (AOO) mereka untuk memperdagangkan swap kadar faedah  (IRS) dalam denominasi ringgit dengan bank bukan pemastautin tanpa mengambil kira sebarang komitmen asas.

 

"Berdasarkan maklum balas positif yang diterima dalam tempoh perintis, BNM dengan sukacitanya mengumumkan bahawa berkuat kuasa pada 15 Mac 2021, bank bukan pemastautin boleh memperdagangkan IRS dalam denominasi ringgit tanpa sebarang komitmen asas dengan mana-mana bank tempatan dalam negeri atau AOO mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

BNM berkata, fleksibiliti ini akan mendorong penyertaan bank-bank bukan pemastautin dalam pasaran IRS dalam negeri, seterusnya menggalakkan pasaran domestik yang lebih cair untuk mengurangkan kos lindung nilai kepada
syarikat dan pengurus aset dan kos pendanaan bank-bank tempatan dalam negeri. 

 

"BNM dan FMC akan terus berbincang dan berinteraksi dengan peserta pasaran bagi menggalakkan pasaran kewangan dalam negeri yang progresif dan teratur," katanya. - DagangNews.com