Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia sediakan 600,000 peluang kerja tahun ini - PM | DagangNews Skip to main content

Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia sediakan 600,000 peluang kerja tahun ini - PM

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 19 Feb - Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” mendukung matlamat menurunkan kadar pengangguran melalui penyediaan 600,000 peluang pekerjaan tahun ini dengan peruntukan RM4.8 bilion memandangkan penciptaan peluang pekerjaan merupakan teras utama di bawah Bajet 2022.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata, kerajaan turut komited membantu komuniti usahawan yang menggaji dan mencipta peluang pekerjaan, supaya dapat terus berkembang dan membina semula perniagaan melalui inisiatif Semarak Niaga bernilai RM40 bilion.

 

Beliau berkata, Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia merangkumi tiga program utama iaitu:


 
i. Insentif Penggajian yang akan dilaksanakan oleh PERKESO dengan sasaran sebanyak 300,000 peluang pekerjaan;

 

ii. Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek atau Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) yang menawarkan 80,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam, syarikat milik Kerajaan (GLC) dan rakan-rakan strategik serta JaminKerja

 

iii. Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia) yang dilaksanakan HRD Corp dengan menyediakan latihan kemahiran untuk pencari kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dan menjamin penempatan pekerjaan dengan sasaran 220,000 orang pelatih.

 


Beliau berkata, program JaminKerja - Insentif Penggajian akan memberi tumpuan kepada usaha merangsang para majikan untuk membuat pengambilan pekerja, terutamanya dalam kalangan individu yang tidak aktif bekerja seperti golongan penganggur, golongan rentan seperti OKU, bekas banduan, warga emas dan golongan wanita menganggur bagi tempoh berpanjangan, untuk memastikan tiada golongan dipinggirkan.

 

 

PM
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berucap merasmikan majlis pelancaran Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjajaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, 19 Februari 2022.

 

PM
Perdana Menteri bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanam.

 

PM
Perdana Menteri berbual dengan seorang OKU yang mencari peluang kerja di Karnival Kerjajaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

 

 

Menurutnya, setelah majikan diberikan insentif bagi pengambilan pekerja, pencari kerja boleh menggunakan Portal MYFutureJobs untuk mendapatkan padanan pekerjaan dan mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.

 

Katanya, insentif turut diberikan kepada majikan yang mengambil tenaga kerja tempatan bagi mengisikan jawatan yang kebiasaannya dilakukan oleh pekerja asing atau pun pegawai dagang.

 

''Majikan yang layak akan menerima bantuan kewangan Kerajaan antara 20 hingga 40 peratus daripada gaji kasar maksimum pekerja iaitu sebanyak RM10,000 bagi tempoh 12 bulan. 

 

''Program JaminKerja Short-term Employment Programme atau MYSTEP pula menyasarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak yang merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan selebihnya dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk tahun 2022.

 

''Dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.7 bilion, program MySTEP akan diterajui oleh LAKSANA di bawah Kementerian Kewangan yang akan melaksanakan kolaborasi strategik bersama agensi-agensi Kerajaan lain,'' katanya.

 

Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjajaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia ini ialah pembuka tirai bagi 2022 dan yang pertama dianjurkan di seluruh negara, menawarkan lebih 12,000 peluang pekerjaan daripada 50 majikan, merentasi pelbagai industri.

 

''Sudah pasti tiada siapa menyangka bahawa seorang bapa berumur 45 tahun yang kehilangan pekerjaan akibat penutupan syarikat, akan berjaya mendapatkan pekerjaan menerusi Portal MYFutureJobs.

 

''Walaupun pada awalnya beliau sendiri tidak yakin akan diterima bekerja semula, ditambah pula dengan cabaran menjaga tiga anak remaja tanpa isteri yang telah meninggal dunia, beliau akhirnya berjaya diterima bekerja sebagai Senior Site Supervisor.

 

''Bapa yang dikenali sebagai Encik Soo itu merupakan seorang daripada beribu ahli Keluarga Malaysia yang telah berjaya dibantu oleh Kerajaan untuk ditempatkan semula ke bidang pekerjaan.

 

 

jaminkerja

 

 

Oleh sebab itu jugalah kata Perdana Menteri, Kerajaan terus beriltizam untuk membantu lebih ramai Keluarga Malaysia yang mengalami nasib yang sama ataupun yang berdepan dengan cabaran yang berbeza untuk mendapatkan pekerjaan.

 

Bagi mengurangkan jurang ketidakpadanan pekerjaan dengan kelayakan pencari kerja, Perdana Menteri menyeru pihak industri untuk melaksanakan strategi pengambilan pekerja yang lebih baik dengan mengambil kira perubahan sosial termasuk suasana pekerjaan yang lebih fleksibel agar padanan yang lebih baik dapat diwujudkan.

 

 

PM

 

 

''Majikan juga perlu lebih kreatif dalam memberi jaminan pekerjaan yang baik kepada para pekerja supaya mereka kekal bersama majikan tersebut.

 

''Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia ini merupakan manifestasi komitmen Kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh dan menghasilkan pembangunan ekonomi yang lebih mampan dan memacu usaha pemulihan negara secara berstruktur dan menyumbang ke arah pengukuhan pasaran tenaga kerja negara,'' katanya.

 

''Saya selaku Pengerusi Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yakin bahawa usaha NEC dalam mempertingkatkan momentum penciptaan pekerjaan serta merancakkan pasaran kerja secara amnya akan dapat diteruskan menerusi Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia ini, yang seterusnya akan turut memperkasa pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia khususnya kumpulan asnaf, B40 dan M40.

 

''Saya menyeru para majikan termasuk agensi Kerajaan, GLC dan swasta untuk memanfaatkan peluang dan insentif yang disediakan di bawah Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia kerana ia akan memberi manfaat yang besar kepada majikan dan pencari kerja,'' kata Perdana Menteri. - DagangNews.com