Inisiatif kerajaan, pelancaran baharu bantu sektor automotif | DagangNews Skip to main content

Inisiatif kerajaan, pelancaran baharu bantu sektor automotif

Pelancaran baharu seperti Perodua Ativa dapat membantu meningkatkan jualan kenderaan tahun ini.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Mei - Usaha kerajaan bagi membantu merangsang prestasi sektor automotif dalam mendepani pandemik COVID-19 dijangka membuahkan hasil yang lebih baik kepada industri tersebut tahun ini.

 

Antaranya termasuklah program insentif di bawah Dasar Automotif Negara (NAP) 2020, pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi mengurangkan impak wabak itu terhadap sektor berkenaan, menurut Kenanga Research. 

 

Dalam nota kajian, penganalisisnya, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz menjangkakan gangguan semasa dalam jualan bagi model lama berikutan kekurangan cip global akan mengimbangi bekalan yang mencukupi untuk model baharu dengan memperoleh margin lebih baik. 

 

"Malah, pelancaran baharu seperti Perodua Ativa, Proton x50, Honda City dan Nissan Almera akan membantu meningkatkan jualan bersama dengan tempahan yang banyak.

 

"Di samping itu, sektor ini juga mendapat manfaat daripada lanjutan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun 2021, promosi mengikuti musim dan lebih banyak pelancaran baharu pada separuh kedua tahun ini," katanya hari ini.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' dengan sasaran jumlah keseluruhan industri (TIV) 2021 sebanyak 585,000 unit melebihi unjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA), 570,000 unit. 

 

Menurut MAA, jualan kenderaan di Malaysia pada April merosot 9.34% kepada 57,912 unit berbanding 63,878 unit yang direkodkan pada bulan sebelumnya. 

 

Antara faktornya disebabkan kekurangan bekalan cip komputer memberi kesan kepada sesetengah pengeluar dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di beberapa negeri. 

 

Bagaimanapun, Wan Mustaqim berkata, jualan pada Mei dijangka lebih rendah berbanding April dengan pelaksanaan PKP 3.0. 

 

"Keadaan ini secara tidak langsung mengurangkan kedatangan pengunjung ke galeri pameran dan bulan bekerja yang pendek ekoran cuti umum Hari Raya.

 

"Kekurangan cip global yang dijangka berterusan juga akan memberi kesan kepada jualan beberapa produk sehingga September 2021," katanya.

 

Semalam, MAA dalam kenyataan menyambut baik keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan PKP berskala penuh di seluruh negara sebaliknya mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang jauh lebih ketat untuk melindungi nyawa dan pendapatan rakyat.

 

Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata, pihaknya telah menggesa semua ahli untuk memberi sokongan dan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa selain perlu mengambil perhatian serius mengenai jangkitan COVID-19.

 

Beliau turut menekankan TIV pada April 2020 merosot ke paras terendah sepanjang masa iaitu hanya 152 unit, TIV bulanan terendah yang pernah dicatatkan oleh industri sejak 50 tahun. - DagangNews.com