Inisiatif PAKEJ meyakinkan - Kenanga | DagangNews Skip to main content

Inisiatif PAKEJ meyakinkan - Kenanga

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Jun - Firma penyelidikan, Kenanga Research menyifatkan inisiatif yang dibentangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Pelan Accelerator Kurier Negara (PAKEJ) meyakinkan. 

 

Namun, penganalisisnya, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz menjangkakan langkah itu tidak akan mendatangkan hasil segera ke atas pemain industri pelabuhan dan logistik seperti MMC Corporation Berhad, Westports Holdings Berhad dan Pos Malaysia Berhad. 

 

“Sementara itu, walaupun terdapat cadangan persendirian baru-baru ini, perolehan MMC dijangka dipacu oleh pelabuhan-pelabuhannya terutamanya Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan sekutunya, Malakoff Corporation Berhad, disokong oleh momentum pemulihan ekonomi daripada aktiviti dagangan global dan domestik. 

 

“Bagi Westports Holdings, kami menjangkakan kumpulan akan pulih secara beransur-ansur bermula 2021 dipacu vaksinasi COVID-19, aktiviti ekonomi domestik dan global kembali yang norma selain kesan permintaan yang terjejas. 

 

“Selain itu, Pos Malaysia telah menurunkan kerugiannya dalam beberapa suku tahun baru-baru ini, terutamanya disebabkan oleh semakan tarif pos pada bulan Februari 2020 dan disokong oleh jumlah bungkusan yang tinggi dari permintaan e-dagang dan pasaran dalam talian yang lebih kukuh,” katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Baca : PAKEJ kurangkan kos operasi pemain industri kurier

 

Penularan COVID-19 telah menyebabkan jumlah bungkusan harian melebihi kemampuan kapasiti industri, sekaligus PAKEJ dibentuk bagi memenuhi keperluan berkenaan. 

 

Pelan lima tahun PAKEJ akan menyokong pertumbuhan industri e-dagang yang diunjurkan berkembang daripada 14 parcel per kapita hingga 30 parcel per kapita menjelang 2025.

 

Di bawah pelan sama, kesemua pemain industri kurier akan berkongsi aset masing-masing dan perkhidmatan penghantaran akan menjadi lebih lancar menerusi a Pusat Pungutan dan Serahan (PUDO).

 

Wan Mustaqim percaya pelan berkenaan akan membuka laluan kepada pengunaan cekap rangkaian pejabat Pos Malaysia di bawah inisiatif perkongsian aset. 

 

Ini seterusnya dijangka meningkatkan keberuntungan Pos Malaysia dalam jangka masa panjang, jelas beliau lagi. - DagangNews.com