Gambar Reuters
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Jun - Seiring penguatkuasaan ‘lockdown’ yang dijadualkan sehingga 14 Jun depan, kerajaan mengumumkan pakej rangsangan baharu, Pemerkasa Plus bagi memastikan ekonomi mampu bertahan ketika krisis kesihatan kian meruncing.
Pemerkasa Plus menyaksikan peruntukan kedua terbesar dengan nilai RM40 bilion selepas Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), melibatkan suntikan RM250 bilion yang diumumkan pada 27 Mac tahun lalu.
Situasi serupa, namun fokusnya berbeza kali ini kerana Pemerkasa Plus dilihat lebih bersasar dan menumpukan inisiatif-inisiatif pelepasan hutang rakyat serta menjamin kelangsungan aliran tunai perniagaan.
Ini antara intipati-intipati utama yang disasarkan bagi tujuan berkenaan:
1) Moratorium automatik atau pengurangan 50% bayaran balik secara ansuran
Golongan B40, rakyat terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Mikro diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama 3 bulan atau pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50% selama tempoh 6 bulan.
Baca : Lanjutkan moratorium minimum 6 bulan, bank tidak rugi - Penganalisis
2) BNM tambah fasiliti Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar untuk PKS
Dalam pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pemerkasa Plus, BNM akan menambah fasiliti Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar untuk PKS terjejas sebanyak RM2 bilion.
Oleh itu, jumlah dana pinjaman untuk PKS dengan kadar pinjaman serendah 3.5% yang masih tersedia bernilai RM7 bilion bagi membantu aliran tunai syarikat.
3) Mikro kredit untuk peniaga dengan kadar faedah rendah
Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) terbaharu, kerajaan masih membenarkan operasi jual dan beli peniaga kecil, penjaja jalanan selain perusahaan mikro.
Oleh itu, sebanyak RM1.5 bilion peruntukan disediakan bagi sepanjang tahun ini oleh BSN, TEKUN, MARA, SME Corp. dan YAPEIM dengan kadar pembiayaan serendah 3% sekiranya para peniaga ingin mendapatkan pembiayaan mikro kredit sebagai modal kerja.
4) Pelancaran Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi
Di bawah pakej rangsangan yang sama, kerajaan juga melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi pada minggu ini dengan nilai peruntukan RM1 bilion.
Melalui skim tersebut, pengusaha bas dan teksi yang layak boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh berkenaan sehingga 36 bulan.
5) Kadar bayaran BPR ditambah
Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan RM2.1 bilion bagi menambah kadar Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
Bagi kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500, mereka akan menerima kadar tambahan sebanyak RM500 dan isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 akan menerima kadar sebanyak RM300 ringgit. Golongan bujang pula akan menerima RM100 ringgit.
BPR tambahan ini akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada hujung bulan Jun nanti. Bayaran ini merupakan tambahan kepada fasa bayaran terakhir BPR bulan September kelak sebanyak RM2.4 bilion.
6) Subsidi upah dilanjutkan sebulan lagi
Program Subsidi Upah (PSU) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dilanjutkan selama sebulan bagi semua sektor ekonomi yang terkesan dengan kos RM1.5 bilion.
Ini melibatkan had 500 pekerja bagi setiap permohonan akan ditanggung oleh kerajaan dengan jangkaan seramai 2.5 juta pekerja dan lebih 200,000 majikan bakal menerima manfaat.
7) Kadar GKP ditambah sebanyak RM500
Salah satu inisiatif yang telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk menambah baik aliran tunai PKS adalah melalui pemberian Geran Khas Prihatin atau GKP.
Susulan itu, Muhyiddin mengumumkan kadar GKP akan ditambah sebanyak RM500 kepada RM1,500 ringgit.
Hampir 1 juta PKS dan perusahaan mikro dijangka menerima RM1,000 pada pertengahan bulan Jun dan RM500 ringgit lagi akan disalurkan pada bulan Julai.
8) Pengecualian, potongan atau penangguhan pungutan HDRF, penalti cukai LDHN, sewa dan pembayaran hutang kepada agensi kerajaan, dan bil elektrik di sektor ekonomi yang terjejas.
Majikan yang berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) akan diberikan pengecualian pembayaran levi selama satu bulan pada bulan Jun 2021.
Selain itu, sebagai salah satu usaha mengurangkan beban perniagaan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mempertimbangkan rayuan pengenaan penalti dan menangguhkan pembayaran penalti ke tahun 2022 serta menyediakan penjadualan semula bayaran cukai tertunggak bagi pembayar cukai dan perniagaan yang terjejas.
Agensi dan syarikat kerajaan juga menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman serta diskaun sewa premis perniagaan.
Seterusnya, kerajaan akan melanjutkan pemberian diskaun bil elektrik kepada sektor yang terjejas. Sehubungan itu, pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks membeli belah, pusat-pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan layak menerima diskaun bil elektrik sebanyak 10% selama 3 bulan tambahan antara bulan Julai hingga September 2021.
Setelah tujuh pakej rangsangan diumumkan sejak tahun lalu dengan jumlah keseluruhannya mencecah RM380 bilion, rata-rata penganalisis masih percaya kerajaan mempunyai kemampuan untuk memastikan had fiskal perbelanjaan tidak berada pada tahap berisiko.
Baca : 7 pakej rangsangan bukti kerajaan komited urus ekonomi - Penganalisis
Dalam ramalan UOB Research, kedudukan fiskal kerajaan ketika ini semakin meruncing, namun masih ada ruang untuk ‘diolah’ dan percaya kerajaan dapat menguruskan sebarang ‘kegelinciran’ fiskal.
CGS-CIMB Research bagaimanapun memberi amaran bahawa ini merupakan pertaruhan besar untuk kerajaan memastikan bahawa ‘lockdown’ ini merupakan yang terakhir.
Baca : Pemerkasa Plus sekurang-kurangnya tampung perbelanjaan asas rakyat
Firma penyelidikan itu melihat situasi semasa meletakkan kerajaan ‘tersepit’ antara membendung gelombang jangkitan COVID-19 dan langkah untuk menahan fiskal, dengan jangkaan defisit perbelanjaan mungkin melepasi 6% daripada KDNK. - DagangNews.com