Inisiatif VTL dengan Singapura bantu pacu semula sektor ekonomi - Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Inisiatif VTL dengan Singapura bantu pacu semula sektor ekonomi - Ismail Sabri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Mac - Dalam usaha merancakkan semula kegiatan ekonomi dan pelancongan khususnya di Johor, kerajaan melaksanakan inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat dengan Singapura mulai 21 Januari lalu.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu ia juga bertujuan memudahkan urusan pertemuan semula keluarga yang terpisah akibat pandemik COVID-19.

 

"Saya difahamkan seramai 200,000 Keluarga Malaysia  berulang antara Singapura dan Johor dan mereka tidak perlu bagi menjalani kuarantin wajib di rumah kerana telah melaksanakan ujian saringan kesihatan sebanyak dua (2) kali iaitu semasa bertolak dari negara luar dan semasa ketibaan di Malaysia. 

 

"Selain Singapura dan Indonesia, kerajaan dalam proses melaksanakan VTL darat dengan Brunei dan Thailand dan dengan pembukaan semula sempadan, ahli Keluarga Malaysia yang sudah lama tak bersua muka dapat pulang terutama semasa Hari Raya pada Mei nanti," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Johor di Dataran Angsana, Johor Bahru hari ini.

 

BACA JUGA: VTL Malaysia ke Thailand, Kemboja bermula 15 Mac 2022

 

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Pembangunan Sistem Janji Temu Klinik (SJTK) di klinik-klinik kesihatan memberi peluang kepada rakyat untuk memilih slot janji temu yang bersesuaian tanpa perlu hadir ke premis kesihatan. 

 

pm

 

Beliau berkata, kerajaan menyasarkan tambahan 100 klinik kesihatan yang menggunakan SJTK dan sistem ini juga membolehkan janji temu dibuat bukan sahaja untuk individu itu sendiri malah juga ahli keluarga terdekat terutama mereka yang  tidak mempunyai kemudahan telefon pintar

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan telah menjayakan beberapa inisiatif bagi membantu Keluarga Malaysia yang terkesan akibat COVID-19 seperti Program Subsidi Upah, Insentif Pengambilan Kerja atau PenjanaKerjaya, portal MYFutureJobs, Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia
(SULUNG) dan Program Young Employable Student (YES!).

 

"Saya dimaklumkan bahawa seramai 11,500 graduan berjaya diterima dan mereka akan diberikan khidmat sokongan dan maklumat berterusan melalui aplikasi Telegram #KisahSiswa," katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang dilancarkan kerajaan baru-baru ini bermatlamat untuk mengurangkan kadar pengangguran ke paras bawah 4.2 peratus melalui penyediaan 600,000 peluang pekerjaan yang membabitkan peruntukan RM4.8 bilion, selaras dengan “Penciptaan Peluang Pekerjaan” sebagai  salah satu teras utama Bajet 2022.

 

pm

 

Selain itu kerajaan turut melancarkan inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) bernilai RM40 bilion untuk membantu sektor perniagaan bangkit semula, terutama Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). 

 

"Inisiatif ini akan memperbanyakkan akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutama untuk pengusaha PMKS dan sektor informal dan limpahannya akan turut dirasai oleh Keluarga Malaysia di Johor," katanya. - DagangNews.com