iNova perkenal Contrave sebagai kaedah baharu untuk tangani obesiti di Malaysia | DagangNews Skip to main content

iNova perkenal Contrave sebagai kaedah baharu untuk tangani obesiti di Malaysia

(Dari kiri) S Sivabalan, Pakar Perubatan Obesiti dan Pakar Perubatan Keluarga, Dr Teoh Soo Huat dan Prof Dr Norlaila Mustafa ketika sesi pengenalan Contrave sebagai terapi gabungan anti-obesiti yang baharu untuk golongan dewasa.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jun - iNova Pharmaceuticals memperkenalkan 'Contrave (naltrexone HCI/bupropion HCI)' sebagai terapi gabungan anti-obesiti yang baharu bagi orang dewasa.

 

Terapi tersebut bagi indeks jisim tubuh (BMI) permulaan 30kg/m2 atau lebih (obes), ataupun BMI 27kg/m2 atau lebih (berat badan berlebihan) yang menghidap sekurang-kurangnya satu komplikasi berkaitan obesiti seperti penyakit kencing manis jenis dua, tekanan darah tinggi atau kolesterol tinggi. 

 

Contrave digunakan sebagai tambahan kepada diet rendah kalori serta peningkatan aktiviti fizikal, yang mana direka secara istimewa untuk membantu individu obes menurunkan dan mengekalkan berat badan dengan mengurangkan pengambilan makanan.

 

Pengurus Negara iNova Pharmaceuticals Malaysia, S Sivabalan berkata, pihaknya teruja untuk memperkenalkan Contrave sebagai rawatan baharu untuk membantu individu mengawal berat badan mereka sebagai respon kepada peningkatan situasi obesiti di Malaysia. 

 

"Ini selaras dengan komitmen kami untuk membangunkan penyelesaian inovatif dalam meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan pesakit, yang merupakan aspek utama dalam perniagaan kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Sivabalan, pengurusan obesiti memerlukan pendekatan bersepadu daripada individu, keluarga, komuniti, masyarakat, serta penggubal polisi. 

 

"Kami komited untuk memainkan peranan kami dalam menyokong individu dengan obesiti untuk mencapai berat badan yang sihat dengan menyediakan pilihan rawatan baharu dalam negara ini," katanya.

 

 

inova

 

 

Sementara itu, Profesor Perubatan dan Pakar Perunding Endokrinologi, Prof Dr Norlaila Mustafa berkata, bilangan individu yang berlebihan berat badan dan obes yang semakin bertambah di Malaysia agak membimbangkan. 

 

Katanya, obesiti bukan sahaja memberi kesan kepada pesakit, tetapi mempunyai impak yang besar kepada komuniti dan masyarakat.

 

"Kos penjagaan kesihatan sudah pasti akan meningkat, produktiviti terjejas, dan mereka yang menghidap penyakit ini mungkin mempunyai kualiti hidup yang kurang baik. Ini merupakan isu kesihatan awam utama yang memerlukan tindakan segera," katanya.

 

Contrave menggabungkan dua ubat, 'naltrexone HCI' dan 'bupropion HCI', menyasarkan dua kawasan otak yang memainkan peranan dalam pengurusan berat badan. Ia bertindak ke atas hipotalamus, dan sistem ganjaran dopaminergik mesolimbik.

 

Keberkesanan Contrave telah dikaji dalam beberapa kajian Fasa 3 'double-blind', 'placebo-controlled' obesiti yang menunjukkan penurunan berat badan sebanyak 8.1% dan pengekalan berat badan sehingga 56 minggu. - DagangNews.com