INSKEN sasar 422 program latihan, bimbingan kepada 13,400 usahawan tahun 2022 | DagangNews Skip to main content

INSKEN sasar 422 program latihan, bimbingan kepada 13,400 usahawan tahun 2022

Program INSKEN Business Outreach berlangsung meriah di Sandakan, Sabah pada 2021. - Gambar FB INSKEN
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

CYBERJAYA 26 April - Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) menyasarkan 20% peningkatan jualan menerusi 422 program latihan dan bimbingan akan dilaksanakan sepanjang 2022, melibatkan penyertaan seramai 13,400 usahawan.

 

Untuk rekod, seramai 28,929 usahawan dari seluruh Malaysia berjaya dilatih melalui 762 program latihan dan bimbingan membabitkan hasil jualan bernilai RM12.3 juta tahun lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, sehingga April 2022, sebanyak 179 program latihan dan bimbingan keusahawanan melibatkan 6,575 peserta.

 

Beliau berkata, keberkesanan program INSKEN membuatkannya bertambah bersemangat untuk terus membantu usahawan di negara ini. 

 

Jelasnya, pada tahun ini beliau menyasarkan untuk membantu usahawan mikro dan informal bagi memperkasakan perniagaan melalui program latihan dan bimbingan anjuran INSKEN. 

 

“Selain itu, INSKEN juga akan memastikan penjaja dan peniaga kecil dapat menguasai perkara asas perniagaan iaitu mengurus tunai melalui Kursus Asas Tunai yang mula dilaksanakan sejak awal tahun ini. 

 

“Beberapa program baharu yang memfokuskan kepada topik kepimpinan, kewangan dan bimbingan usahawan permulaan akan diperkenalkan pada tahun ini.  Sejajar dengan peralihan ke fasa endemik, mod program anjuran INSKEN juga bertukar kepada 50% secara dalam talian dan 50% secara fizikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Muhd Firdaus berkata, laporan pencapaian 2021 menunjukkan RM12.3 juta hasil jualan dapat ditingkatkan melalui 31 Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), 8 Online Onboarding Coaching Program (E-Board) dan 2 Program Bimbingan Usahawan Atlet (Sportspreneur). 

 

 

insken
Muhd Firdaus Azharuddin

 

 

“Secara keseluruhan, 28,929 usahawan dari seluruh negara dilatih melalui 762 program latihan dan bimbingan keusahawanan bagi mecapai matlamat tahun lalu iaitu untuk memastikan usahawan dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu. Pecahan 762 program itu terbahagi kepada 605 latihan, 47 bimbingan dan 110 program khas. 

 

“Kesemua program anjuran INSKEN pada tahun lalu masih lagi dijalankan secara dalam talian dan sekali gus telah melepasi sasaran awal iaitu 14,720 usahawan yang perlu dilatih melalui 336 program latihan serta bimbingan,” katanya.

 

Katanya, selain itu bagi menggalakkan usahawan baharu untuk menyertai Program Usahawan Bisnes Dropship dan Ejen (DNA) terutama dalam kalangan graduan dan usahawan baharu. 

 

“Program ini dapat memperkasakan ekosistem keusahawanan dengan melahirkan lebih ramai usahawan terutama dalam kalangan generasi muda dengan menjadi egen dan dropship kepada jenama produk yang kukuh di pasaran sedia ada. 

 

“Ia juga dapat memberikan pendedahan awal kepada bakal usahawan tentang selok belok perniagaan dan mengenali pasaran sebelum mereka memulakan perniagaan sendiri dan mengeluarkan produk,” katanya. - DagangNews.com