Intel tambah pelaburan lebih RM30 bilion di Pulau Pinang dan Kedah | DagangNews Skip to main content

Intel tambah pelaburan lebih RM30 bilion di Pulau Pinang dan Kedah


KUALA LUMPUR 16 Dis - Intel Corporation, pengeluar cip terbesar dunia mengumumkan pelaburan lebih RM30 bilion untuk pengembangan selanjutnya kemudahannya di Malaysia bagi tempoh 10 tahun akan datang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Intel Corporation, Patrick Gelsinger berkata, pelaburan itu membabitkan pengembangan kemudahannya di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.

 

Beliau berkata, pengembangan yang akan dilaksanakan termasuk kemudahan pemasangan ujian serta pembuatan pembungkusan maju baharunya.

 

"Malaysia adalah lokasi penting dan akan terus menjadi lokasi penting bagi Intel. Pelaburan baharu ini berjumlah lebih RM30 bilion ini dijangka mewujudkan lebih 4,000 pekerjaan baharu Intel dan lebih 5,000 pekerjaan pembinaan.

 

"Pelaburan ini juga akan menyokong pengeluaran pembungkusan maju Intel yang dijangka akan mula beroperasi menjelang 2024," katanya pada majlis pengumuman pelaburan tambahan Intel yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam.

 

Hadir sama, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman.


 

intel
Mohamed Azmin Ali berbual dengan Patrick Gelsinger semasa mengumumkan pelaburan tambahan Intel di Kuala Lumpur, 15 Disember 2021. - Gambar Mohd Suhaimi Mohamed Yusuf


 

Gelsinger berkata, Intel kekal komited untuk terus melabur di negara ini bukan hanya dalam pembangunan kemudahan pengeluaran dan penyelidikan dan pembangunan (R&D), malah turut membangunkan latihan tenaga kerja untuk generasi selanjutnya.

 

Beliau berkata, pelaburannya di Malaysia itu juga akan membangunkan ekosistem yang kaya dalam keseluruhan pembangunan keupayaan pasaran Malaysia.

 

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, pelaburan lebih RM30 bilion oleh Intel Corporation itu adalah sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), yang akan memastikan Malaysia berada di barisan hadapan dalam semikonduktor.

 

Beliau berkata, pelaburan besar itu juga akan memanfaatkan Malaysia dalam menjana peluang pekerjaan kepada rakyat, yang mana ia adalah pekerjaan yang berkualiti.

 

Katanya, pelaburan itu juga akan mengukuhkan lagi peranan negara ini sebagai kawasan utama dalam rangkaian pengeluaran global pengeluar cip terbesar dunia itu.

 

"Malaysia juga akan terus menyokong dasar holistik pertumbuhan kukuh dan mampan untuk memastikan perkembangan dalam memupuk teknologi hijau, ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian Keempat," katanya.

 

Pada separuh pertama 2021, sektor elektrik dan elektronik (E&E) mencatatkan RM47.1 bilion dalam pelaburan yang diluluskan, peningkatan ketara berbanding RM5.0 bilion dalam tempoh yang sama pada 2020.

 

Pelaburan asing menerajui pelaburan yang diluluskan dalam industri itu, mewakili hampir 98% atau RM46.0 bilion.

 

Projek yang diluluskan itu dijangka menjana lebih 9,700 pekerjaan baharu, termasuk jawatan mahir untuk jurutera, pakar pengawal kualiti dan juruteknik berkemahiran tinggi. - DagangNews.com