KUALA LUMPUR 15 Feb – IOI Corp Bhd melantik bekas ketua pegawai eksekutif CIMB Investment Bank, Datuk Kong Sooi Lin sebagai pengarah bebas bukan eksekutif kumpulan syarikat perlandangan itu.
Menurut pernyataan di dalam Bursa Malaysia, pelantikan Sooi Ling berkuatkuasa pada 16 Februari 2022.
''Sooi Ling memiliki lebih 30 tahun pengalaman di dalam perbankan pelaburan serta kepakaran luas di dalam transaksi ekuiti dan hutang, serta menasihatkan sebilangan pelaksanaan korporat berprofil tinggi di Malaysia dan Asia Pasifik.
"Beliau memulakan kerjayanya dengan firma Ernst & Whinney (kini dikenali sebagai Ernst & Young) dan Arthur Anderson & Co dan kemudian menyertai Bumiputra Merchant Bankers Bhd di bawah perbankan korporat pada 1989.
"Pada 1994, Sooi Ling menyertai CIMB Investment Bank Bhd yang menyaksikan beliau bersama CIMB Group Holdings Bhd selama 25 tahun sehingga persaraannya dari CIMB Investment Bank sebagai CEO pada Mac 2019,’’ kata IOI Corp.
Sepanjang perkhidmatannya bersama CIMB Group, Sooi Ling telah memberi sumbangan besar menjadikan CIMB satu daripada bank pelaburan utama di dalam dan di seluruh ASEAN.
Beliau telah menjawat pelbagai peranan di dalam CIMB Group termasuk Ketua Divisyen Perbankan Pelaburan Kumpulan bagi rantau Asia Pasifik; Ketua Perbankan Persendirian Kumpulan; Ketua Bankers Kanan Kumpulan; Pengerusi CIMB Private Ltd Sri Lanka dan Pesuruhjaya di dalam Lembaga Suruhanjaya CIMB Securities Indonesia.
Sooi Ling kini juga merupakan ahli lembaga pengarah di AMMB Holdings Berhad dan Eco World International Berhad. – DagangNews.com