IOI Corp tanam nanas, kelapa, kurangkan kebergantungan kepada hasil sawit | DagangNews Skip to main content

IOI Corp tanam nanas, kelapa, kurangkan kebergantungan kepada hasil sawit

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Public Investment Bank Research mengekalkan saranan 'neutral' ke atas saham IOI Corp. Bhd. dengan harga sasaran pada RM4.60 di sebalik kenaikan harga minyak sawit mentah baru-baru ini setelah mengambil kira potensi yang terhad. 

 

Dalam taklimat kepada penganalisis baru-baru ini, kumpulan menjangkakan pengeluaran buah tandan segar adalah kurang memberangsangkan bagi tahun kewangan 2022 disebabkan sasaran tanaman semula yang agresif sekitar 7,100 hektar. 

 

Pada masa sama, katanya, IOI Corp. juga merancang mempelbagaikan tanaman bernilai tinggi bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak sawit. 

 

"Kumpulan sudah pun memulakan tanaman nanas di Johor sebagai tanaman kontan di kawasan penaman kelapa seluas 300 hektar. 

 

"Kami memahami nanas dan kelapa adalah tanaman yang mampu menjana keuntungan dan ia mengambil masa sehingga setahun bagi mencapai tempoh matang," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Selain itu, menurut PublicInvest, IOI Corp juga merancang untuk menambah lagi keluasan tanaman kelapa seluas 1,000 hektar dan 300 hektar bagi kenaf dalam tempoh 2 tahun lagi. 

 

Apabila ia mencapai keluasan kawasan tanaman, kumpulan akan meneroka pelbagai kemudahan pemprosesan untuk memenuhi pasaran. 

 

"Ini kerana selain untuk pasaran tempatan, kelapa juga akan dihantar ke kilang oleokimia di Jerman bagi pemprosesan hiliran. 

 

"Ia juga merancang untuk menukar produk minyak sawit dan pemprosesan sisa terbuang kepada produk bernilai tambah pada kos yang kompetitif," jelasnya lagi. 

 

Firma itu berkata, baru-baru ini, kumpulan telah memberikan kontrak untuk pembinaan kilang kayu sawit di Segamat, Johor untuk menukar batang kelapa sawit menjadi papan dan panel kayu sawit berprestasi tinggi untuk memenuhi pasaran Eropah.

 

Pada masa sama, kumpulan turut menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan menerusi segmen oleokimia sebanyak RM100 juta apabila pembinaan kilang di Perai, Penang siap pada suku kedua 2022. 

 

Pembinaan kilang ini yang membabitkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM220 juta menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan oleokimia lebih daripada 35% pada tahun kewangan 2021.

 

"Kilang baharu ini adalah khusus untuk minyak sawit dan minyak isirung berasaskan asid lemak dan glycerine, yang merupakan bahan penting bagi produk penjagaan diri dan kosmetik," katanya. 

 

PublicInvest juga memberitahu, IOI Corp. memperuntukkan capex sebanyak RM500 juta bagi tahun kewangan 2022, meningkat 23% tahun ke tahun. 

 

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM300 juta diperuntukkan untuk tanaman semula dan aktiviti penanaman baharu manakala selebihnya bagi perniagaan oleokimia," katanya. - DagangNews.com