IPO Critical Holdings catat lebihan langgan 88.08 kali | DagangNews Skip to main content

IPO Critical Holdings catat lebihan langgan 88.08 kali

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Dis - Malaysian Issuing House Sdn. Bhd. mengumumkan bahawa tawaran awam permulaan (IPO) Critical Holdings Berhad sebanyak 18,587,000 juta saham terbitan yang disediakan untuk permohonan orang ramai Malaysia telah terlebih langgan sebanyak 88.08 kali.

 

Sejumlah 13,038 permohonan untuk 1,655,806,600 saham terbitan telah diterima daripada orang awam Malaysia, mewakili kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 88.08 kali.

 

Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 7,379 permohonan untuk 739,259,700 saham terbitan diterima, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 78.55 kali, manakala 5,659 permohonan untuk 916,546,900 saham diterima di bawah bahagian awam Malaysia yang lain, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 97 kali.

 

"Selain itu, 3,717,400 Saham Terbitan yang disediakan untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja yang layak telah dilanggan sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

IPO melibatkan terbitan awam sebanyak 74,348,000 saham terbitan dan tawaran untuk penjualan 37,173,900 saham biasa sedia ada syarikat. 

 

Daripada 74,348,000 saham terbitan, 18,587,000 akan disediakan kepada orang ramai melalui pengundian manakala 3,717,400 diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja yang layak.

 

Sejumlah 46,467 akan diterbitkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan baki 5,576,200 diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

MIDF Amanah Investment Bank Berhad yang merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan telah mengesahkan bahawa 46,467,400 saham terbitan yang disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI telah dilanggan sepenuhnya.

 

Sejumlah 5,576,200 saham terbitan dan 37,173,900 Saham sedia ada yang disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih juga telah dilanggan sepenuhnya.- DagangNews.com