IPO KJTS Group tarik ramai pelabur, catat lebihan langgan 31.28 kali | DagangNews Skip to main content

IPO KJTS Group tarik ramai pelabur, catat lebihan langgan 31.28 kali

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 Jan - Tawaran awam permulaan (IPO) KJTS Group Berhad melibatkan sebanyak 1.11 bilion saham untuk orang awam Malaysia telah terlebih langgan sebanyak 31.28 kali.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, syarikat perkhidmatan tenaga penyejukan bangunan itu berkata, ia telah menerima sejumlah 9,632 permohonan untuk 1.11 bilion saham terbitan orang awam yang bernilai RM299.78 juta.

 

Syarikat yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 26 Januari 2024 itu menyaksikan terbitan awam sebanyak 218.03 juta saham baharu pada harga 27 sen sesaham.

 

Bagi bahagian bumiputera menyaksikan 5,803 permohonan untuk 562.24 juta saham diterima dengan kadar lebihan langganan sebanyak 31.69 kali. 

 

Bahagian awam Malaysia yang lain pula merekodkan 3,829 permohonan untuk 548.06 juta saham menunjukkan kadar lebihan langganan sebanyak 30.86 kali.

 

Sementara itu, 15 juta saham yang disediakan untuk permohonan oleh Orang Yang Layak telah dilanggan sepenuhnya.

 

kjts
Lee Kok Choon

 

Pengarah Urusan KJTS, Lee Kok Choon berkata, penerimaan IPO syarikat yang luar biasa mencerminkan kepercayaan pasaran terhadap visi dan prospek strategik KJTS. 

 

"Dengan penekanan terhadap kemampanan, Kumpulan KJTS berada pada kedudukan untuk merangsang pertumbuhan dan meningkatkan perkhidmatan kami di seluruh Malaysia, Singapura dan Thailand, dengan tumpuan khusus pada pasaran tenaga penyejuk.

 

"Maklum balas positif daripada pelabur menggariskan keyakinan pasaran terhadap keupayaan Kumpulan KJTS dan komitmen kami untuk menempa masa depan yang mampan dan cekap tenaga,” katanya hari ini.- DagangNews.com