IPO kumpulan K-pop BTS ditawar dua kali ganda | DagangNews Skip to main content

IPO kumpulan K-pop BTS ditawar dua kali ganda


SEOUL 15 Okt. - Kumpulan K-pop terkenal Korea Selatan, BTS yang mencetus fenomena di seluruh dunia memulakan tawaran awam permulaan (IPO) pada harga dua kali ganda hari ini memandangkan para pelabur ternanti-nantikan penyenaraian terbesar dalam tempoh tiga tahun. 

Menurut Reuters, harga saham Big Hit Entertainment itu dibuka pada 270,000 won membolehkan syarikat itu dinilai kira-kira 9.6 trilion won, berbanding harga IPOnya bulan lalu, 135,000 won. 

Malah, harga sahamnya juga melonjak sehingga 30% dalam dagangan awal kepada 351,000 won berbanding penurunan 0.3% dalam penanda aras Korea Composite Stock Price Index (KOSPI). 

Pencapaian label besar dalam dunia hiburan ini meletakkan mereka dalam kalangan 10 syarikat teratas sepanjang masa dalam pasaran saham Korea Selatan berdasarkan harga penutupan hari pertama. 

Majlis penyenaraian di Korea Exchange (KRX) itu turut dihadiri pengasas Big Hit dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Bang Si-hyuk, yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Youtube label tersebut. 

 

BTS meraih gelaran Guinness World Records bagi paling banyak penonton untuk persembahan yang disiarkan secara langsung.
BTS meraih gelaran Guinness World Records bagi paling banyak penonton untuk persembahan yang disiarkan secara langsung
 

Pada awal bulan ini, pelabur runcit meletakkan 58.4 trilion won bagi tempahan saham Big Hit, hanya rendah sedikit berbanding 58.55 trilion won bagi bahagian runcit penyenaraian Kakao Games, September lalu. 

Secara dasarnya, Big Hit banyak bergantung kepada populariti BTS, dengan kumpulan teratas Billboard itu menyumbang 87.7% kepada perolehan syarikat pada separuh pertama 2020.

Kumpulan band yang mempunyai tujuh ahli ini mempunyai peminat yang ramai dari seluruh dunia dan semakin dikenali dengan pelbagai promosi menerusi platform dalam talian memandangkan konsert mereka terpaksa dibatalkan disebabkan pandemik COVID-19. 

Big Hit banyak bergantung kepada populariti BTS, dengan kumpulan teratas Billboard itu menyumbang 87.7% kepada perolehan syarikat.
Big Hit banyak bergantung kepada populariti BTS, dengan kumpulan teratas Billboard itu menyumbang 87.7% kepada perolehan syarikat.
 

Menurut penganalisis, syarikat itu telah membuktikan mereka mampu menguasai dunia teknologi maklumt menerusi Youtube dan juga menembusi pasaran sosial media. 

Malah, ia juga pernah memiliki tahap kawalan yang belum pernah terjadi sebelum ini terhadap aliran pendapatannya melalui platform Weverse yang mengedarkan kandungan dan barangan BTS, yang berpotensi menarik perhatian artis lain. 

Penganalisis KTB Investment & Securities, Nam Hyo-ji berkata, Big Hit mempunyai model perniagaan yang berbeza berbanding tiga lagi label K-pop iaitu JYP, SM dan YG. 

"Walaupun hakikatnya belum bebas daripada COVID-19, tetapi ia lebih bebas berbanding jenama-jenama lain," katanya. 

BTS meraih gelaran Guinness World Records bagi paling banyak penonton untuk persembahan yang disiarkan secara langsung selepas konsert dalam talian pertamanya, Jun lalu menarik sehingga 757,000 orang daripada 107 negara. 

Penyenaraian itu kini menjadikan anggota BTS multimillionaires, dengan setiap seorang memiliki saham bernilai sekurang-kurangnya 24 bilion won, menurut dagangan awal - DagangNews.com