IPO Plytec terlebih langgan 6.72 kali | DagangNews Skip to main content

IPO Plytec terlebih langgan 6.72 kali

Foto FB Plytec
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Nov - Tawaran awam permulaan (IPO) Plytec Holding Berhad sebanyak 30.3 juta saham untuk bahagian orang awam telah terlebih langgan sebanyak 6.72 kali.

 

Penyenaraian syarikat itu menyaksi terbitan awam sebanyak 106.06 juta saham baharu dan tawaran penjualan 51.5 juta saham sedia ada dalam Plytec pada harga 35 sen sesaham.

 

Malaysian Issuing House Sdn Bhd (MIH), mewakili syarikat kejuruteraan pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran bahan binaan itu berkata, IPO tersebut meraih 3,451 permohonan daripada bahagian orang awam untuk 233.87 juta saham, mewakili lebihan langganan 6.72 kali.

 

Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 1,550 permohonan untuk 89.3 juta saham terbitan telah diterima, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 4.89 kali.

 

Manakala 1,901 permohonan untuk 144.55 juta saham terbitan telah diterima di bawah bahagian awam Malaysia yang lain, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 8.54 kali.

 

Sementara itu, 21.2 juta saham tawaran untuk pengarah dan pekerja berkelayakan serta mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan Plytec dan anak syarikatnya telah dilanggan sepenuhnya.

 

Di samping itu, 30.3 juta saham tawaran disediakan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih telah dikeluarkan sepenuhnya.

 

Begitu juga 75.76 juta saham terbitan untuk permohonan pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI turut dikeluarkan sepenuhnya.

 

Penyenaraian IPO Plytec di pasaran ACE Bursa Malaysia dijadualkan pada 16 November 2023.  - DagangNews.com