IPO saham VOLCANO terlebih langganan 176.6 kali | DagangNews Skip to main content

IPO saham VOLCANO terlebih langganan 176.6 kali

 

KUALA LUMPUR 26 Mac – Saham VOLCANO BERHAD telah terlebih langgan sebanyak 176.6 kali menjelang penyenaraian syarikat itu di Papan ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Volcano menjana RM8.75 juta daripada proses IPO tersebut. Dana yang diraih itu kelak akan diguna oleh Kumpulan sebanyak RM5.55 juta untuk membeli mesin dan peralatan manakala RM3.20 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Pelancaran IPO Volcano di Bursa Securities dijadualkan pada 6 April 2021.

 

Kami sangat-sangat gembira dengan keyakinan para pelabur terhadap Volcano dan juga perniagaan kami, propek dan perancangan masa hadapan kami. Kerja keras kami membina perniagaan mampan sejak lebih 20 tahun lalu kini telah mendatang hasil,” kata  Pengarah Urusan Volcano, Datuk Ch’ng Huat Seng.

 

Ini hanyalah permulaan perjalanan korporat kita. Pelan perluasaan akan mendorong pertumbuhan perniagaan Kumpulan,” jelas Ch’ng. “Ini juga adalah sebahagian daripada strategi untuk meningkatkan pengautomasian dan kapasiti bagi memenuhi permintaan pelanggan sedia ada dan baharu kami di dalam sektor elektrikal dan elektronik (“E&E”) serta industri automotif.”

 

Volcano
                  Pengarah Urusan Volcano, Datuk Ch’ng Huat Seng

 

Untuk IPO ini, sejumlah 23,838 permohonan untuk sebanyak 1.46 bilion Saham baharu bernilai RM512.82 juta telah diterima daripada orang awam Malaysia untuk 8.25 juta Saham yang disediakan untuk permohonan orang awam Malaysia, yang mewakili kadar terlebih langganan keseluruhan sebanyak 176.60 kali.

 

Untuk peruntukan Bumiputera, sebanyak 11,624 permohonan bagi 594.43 juta Saham baharu telah diterima, yang mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 143.11 kali.

 

Untuk bahagian orang awam, sebanyak 12,214 permohonan bagi 870.78 juta Saham baharu telah diterima, yang mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 210.10 kali.

 

Saham baharu 8.25 juta yang dikhaskan untuk dipohon pengarah yang layak, termasuk barisan pengurusan kanan utama, kakitangan dan rakan perniagaan serta sesiapa sahaja yang telah menyumbang kepada kejayaan Volcano dan subsidiarinya juga telah dilanggan sepenuhnya.

 

Agen Penempatan telah mengesahkan bahawa sebanyak 43.50 juta Saham yang ditawarkan untuk permohonan menerusi penempatan khas juga telah dipenuhi.

 

Notis peruntukan akan dihantar secara pos kepada pemohon yang berjaya pada atau sebelum 5 April 2021.

 

TA Securities Holdings Berhad (“TA Securities”) merupakan Penasihat Prinsipal, Agen Penempatan Tunggal, Penaja Jamin Tunggal dan Penaja bagi IPO ini.

 

Tan Poh Lin, Naib Presiden Kewangan Korporat TA Securities berkata, “Kami berbangga dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan IPO Volcano ini. Kami gembira kerana IPO ini menerima sambutan baik dan ini merupakan bukti keyakinan pasaran terhadap perniagaan yang memiliki fundamental yang teguh. Volcano mempunyai rekod prestasi yang kukuh sejak lebih dua dekad lalu memberi sokongan kepada syarikat multinasional (MNC) yang merupakan teras kepada pelanggan Volcano. Ini merupakan sokongan oleh jenama global dan firma-firma terkemuka ke atas keboleharapan dan kualiti kerja Volcano.”

 

Pasaran utama Volcano merupakan Singapura dan Thailand. Secara keseluruhan, akaun pasaran luar negara mewakili lebih daripada 95% keseluruhan perolehan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020. Syarikat multinasional (MNC) mewakili 90% jualan termasuk jenama utama dunia seperti Bernina, Hewlett Packard, Fisher & Paykel Thailand, Donaldson Thailand, Sharp Indonesia dan Panasonic Thailand. - DagangNews.com