KUALA LUMPUR 29 Jun – Tricor Investor & Issuing House Services Sdn Bhd (TIIH) mengumumkan Tawaran Awam Permulaan (IPO) Seng Fong Holdings Berhad telah terlebih langgan sebanyak 3.09 kali.
IPO Seng Fong melibatkan penerbitan 160,874,300 Saham IPO:
(A) Tawaran runcit sebanyak 42,198,000 Saham IPO akan diperuntukkan mengikut cara berikut:
• 25,948,000 Saham IPO kepada orang ramai Malaysia; dan
• 16,250,000 Saham IPO kepada pengarah dan pekerja Seng Fong yang layak dan anak-anak syarikatnya (“Kumpulan”) dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan;
(B) Penawaran institusi sebanyak 118,676,300 Saham IPO:
• 64,870,000 Saham IPO melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); dan
• 53,806,300 Saham IPO melalui penempatan persendirian kepada institusi lain dan pelabur terpilih.
Sebanyak 3,968 permohonan untuk 106,046,800 Saham IPO dengan nilai RM79,535,100 telah diterima daripada orang ramai Malaysia, yang mewakili kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 3.09 kali.
Bagi bahagian awam Bumiputera, sebanyak 2,097 permohonan untuk 31,762,400 Saham IPO telah diterima, yang mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 1.45 kali.
Bagi bahagian awam Malaysia yang selebihnya, sebanyak 1,871 permohonan untuk 74,284,400 Saham IPO telah diterima, yang mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 4.73 kali.
Sementara itu, sebanyak 16,250,000 Saham IPO yang tersedia untuk para pengarah dan pekerja Kumpulan yang layak dan mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan juga telah dilanggan sepenuhnya.
Pengarah Urusan Seng Fong, Er Hock Lai berkata, syarikat kini boleh melihat ke hadapan untuk meraih peluang daripada peningkatan permintaan pelanggan sedia ada serta daripada pelanggan baharu semasa meningkatkan pengeluaran melalui pengambilan lebih ramai orang untuk anjakan kedua dan melaksanakan inisiatif ESG untuk menjadikan perniagaan lebih mampan.
Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Investment Bank, Lee Jim Leng berkata, pihaknya gembira dengan penerimaan pelabur ke IPO Seng Fong mencerminkan keyakinan mereka terhadap asas kukuh perniagaan dan kepimpinan serta visi pengasas dan penganjur.
Hong Leong Investment Bank Berhad ialah Penasihat Utama, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk IPO.
Notis peruntukan akan diposkan kepada semua pemohon yang berjaya pada atau sebelum 6 Julai 2022. Syarikat akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada 7 Julai 2022. - DagangNews.com