Iran iktiraf kejayaan inisiatif vaksinasi COVID-19 Malaysia | DagangNews Skip to main content

Iran iktiraf kejayaan inisiatif vaksinasi COVID-19 Malaysia

Iran iktiraf kejayaan inisiatif vaksinasi COVID-19 Malaysia

Oleh  MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Kejayaaan pelaksanaan inisiatif vaksinasi COVID-19 di negara ini mendapat pengiktirafan daripada Kedutaan Besar Iran di Malaysia.

 

Kedutaan Iran dalam satu kenyataan hari ini berkata, Malaysia melancarkan Program Vaksinasi Kebangsaan pada saat kritikal dengan langkah-langkah yang diperlukan hingga berjaya memberi suntikan lebih 20 juta dos dalam tempoh beberapa bulan.

 

Jelas kedutaan itu lagi, rekod pemberian vaksin secara harian tertinggi melebihi 500,000 dos juga menjadi kejayaan luar biasa dan mengagumkan dunia.

 

"Malaysia melalui inisiatif Vaksinasi Kebangsaannya memasukkan kesemua warganegara asing dan tiada pengecualian yang dibuat oleh Pegawai Kesihatan.

 

"Langkah dan inisiatif tersebut adalah sangat konstruktif tanpa wujudnya sebarang diskriminasi," jelas Kedutaan Iran.

 

Mengulas lanjut, Kedutaan Iran memberitahu, dalam penyelarasan antara Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta komuniti Diplomatik di Kuala Lumpur, vaksinasi terhadap semua kakitangan dan diplomat turut dijalankan.

 

Dalam hal itu, Kedutaan Iran di Kuala Lumpur berterima kasih atas kerjasama dan bantuan penuh daripada pihak berkuasa Malaysia yang berkaitan.

 

"Kebanyakan rakyat Iran yang tinggal di Malaysia juga turut menerima manfaat untuk mendapatkan vaksin dan tersenarai sebagai penerima vaksin COVID-19.

 

"Dan sebilangan mereka ada yang menerima dos pertama dan dos kedua vaksin melalui penyelarasan kedutaan.

 

"Tidak dinafikan lagi, pihak berkuasa Malaysia harus dipuji dalam usaha penyelarasan yang adil ini, semua masyarakat dilindungi dalam aspek penjagaan kesihatan," jelas Kedutaan Iran lagi. - DagangNews.com

 

.