KUALA LUMPUR 25 Feb - Kerajaan Johor bakal menampilkan Minggu Johor di Pavilion Malaysia sempena Ekspo 2020 Dubai yang diketuai agensi utamanya, Iskandar Investment Berhad (IIB), bermula 27 Februari hingga 5 Mac depan.
Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) telah memberi mandat kepada IIB untuk merancang dan mengatur aktiviti sepanjang Minggu Johor tersebut.
Kedudukan strategik Johor di tengah-tengah rantau ASEAN serta laluan perkapalan antarabangsa utama dan paling sibuk di dunia, membolehkan Johor terus membuka pintunya untuk perdagangan serta pelaburan, menawarkan insentif mesra pelabur dan dasar mesra bisnes.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata, kumpulan berbesar hati dilantik sebagai agensi utama untuk menyelaraskan penyertaan Johor di ekspo tersebut.
Jelasnya, syarikat telah bekerjasama dengan Invest Johor bagi menyelaraskan pemilihan serta mengenal pasti syarikat dan perwakilan yang mengambil bahagian.
"Kami turut menyediakan sebuah jadual komprehensif yang menyenaraikan pelbagai program bisnes untuk manfaat perwakilan Johor dan bakal pelabur dari seluruh dunia. Penyertaan Johor merupakan peluang yang baik untuk IIB kerana ekspo dunia ini adalah platform terbaik untuk kami mengakses pasaran global dan meningkatkan pertumbuhan perniagaan kami.
"IIB mengunjurkan dapat menarik peluang bisnes yang berpotensi semasa kami menyertai ekspo dunia ini. Sebagai catalytic developer bagi Iskandar Puteri, kami amat berbangga kerana kerajaan negeri telah menjadikan metropolis ini sebagai Hab Teknologi Digital dan Emerging Technology, selaras Agenda Johor Digital," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Khairil, salah satu inisiatif utama pihaknya adalah Iskandar New Economy, Experience and Talent (NEXT), sebuah usahasama swasta-awam inovatif IIB bersama kerajaan negeri.
Beliau berkata, Iskandar NEXT menyokong agenda ekonomi digital negeri dan memainkan peranan penting ke arah mencapai aspirasi menjadikan Iskandar Malaysia sebagai hab komersial dan digital serantau.
"Ini seterusnya akan menyumbang kepada impak sosioekonomi yang lebih besar untuk Johor khususnya dan ekonomi Malaysia amnya.
"Inisiatif Iskandar NEXT bakal menarik lebih ramai pelabur ke Johor dengan rangsangan inovasi digital, selain mengembangkan aktiviti ekonomi teknologi generasi akan datang dan pembangunan bakat melalui ekosistem berteraskan digital yang memudahkan keusahawanan, perkongsian pengetahuan dan pembangunan bakat," katanya.
Katanya, sebagai salah satu pemacu penting bagi pertumbuhan ekonomi Iskandar Malaysia, IIB juga akan mempamerkan projek pemangkin berimpak tinggi yang lain dalam sektor Pendidikan, Pelancongan dan Kesenggangan, Kreatif dan Media serta Penjagaan Kesihatan dan Kesejahteraan melalui kumpulannya di ekspo dunia tersebut.
Minggu Johor bertemakan 'The Southern Jewel of Malaysia', akan mempamerkan yang terbaik di Johor dalam sektor Digital, Logistik, Hartanah, Infrastruktur dan Perkhidmatan Pembinaan, serta Pertanian dan Industri Makanan.
Ekspo 2020 Dubai berlangsung dari 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022. - DagangNews.com