Iskandar Malaysia raih pelaburan RM16 bilion Jan-Jun 2020 | DagangNews Skip to main content

Iskandar Malaysia raih pelaburan RM16 bilion Jan-Jun 2020

Oleh ADAM ALIF
editor@dagangnews.com
 

JOHOR BAHRU 2 Sept. - Biarpun berdepan cabaran ekonomi global ekoran pandemik Covid-19, Iskandar Malaysia merekodkan pelaburan kumulatif sebanyak RM16 bilion bagi enam bulan pertama tahun ini, membawa jumlah keseluruhan pelaburan kumulatif bermula tahun 2006 hingga Jun 2020 adalah RM332.11 bilion.

Daripada jumlah RM332.11 bilion itu, sebanyak RM194.28 bilion atau 56 peratus merupakan pelaburan yang sudah direalisasikan.

Daripada jumlah itu juga, 60 peratus atau RM199.27 bilion diterima daripada pelaburan domestik manakala 40 peratus atau RM132.84 bilion merupakan pelaburan dari luar negara dengan didahului dari negara China, Singapura, Amerika Syarikat, Jepun dan Belanda.

Sebanyak RM111 bilion pula merupakan pelaburan yang dipromosikan iaitu menerusi sektor pembuatan sebanyak (RM79.61 bilion), logistik (RM11.06 bilion), pelancongan (RM8.98 bilion), kesihatan (RM4.11 bilion), pendidikan (RM3.29 bilion), kewangan (RM2.85 bilion) dan kreatif (RM1.65 bilion).

Menteri Besar yang juga merupakan Pengerusi Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Hasni Mohammad berkata,  pendemik Covid-19 itu telah memberi masa untuk menilai kembali strategi dalam usaha untuk mencapai sasaran pelaburan di wilayah berkenaan.
 

aaa
                                                                   Hasni Mohammad


"Biarpun berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19, saya yakin Iskandar Malaysia akan terus dapat menarik minat para pelabur sekali gus sasaran RM383 bilion menjelang tahun 2025 dapat direalisasikan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hasni berkata, beliau percaya Malaysia telah dan akan terus memberikan yang terbaik dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 sekali gus diyakini membantu ekonomi negara untuk bangkit secepat mungkin.

Beliau juga percaya bagi Johor, pengumuman Tujuh Ikhtiar Makmur Johor antaranya  mewujudkan Majlis Ekonomi Ibrahim Johor (IJEC), Johor Digital Masterplan, Pembangunan Segitiga Singapura-Johor-Riau (SIJO-Kepri), Johor Economic Trade and Cultural Office (Jetco) di Singapura, Jajaran Ekonomi Baharu, Inisiatif Bank Makanan Johor dan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030 dapat menambah keyakinan pelabur ke negeri ini.

"Selain itu, kelebihan dan kekuatan Iskandar Malaysia seperti kedudukannya yang strategik, rakan pelaburan yang diyakini serta modal insan yang mencukupi juga merupakan faktor keyakinan pelabur," katanya. - DagangNews.com
 

aaa