PUTRAJAYA 9 Okt - Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa khas ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham Adib, 24, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan dan sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka
pengadilan.
''Jawatankuasa ini akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat kabinet untuk tindakan susulan,'' katanya semasa mengumumkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 8 Oktober 2021,.
Turut dipersetuju kata Perdana Menteri ialah menyemak semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.
''Jemaah Menteri juga bersetuju agar pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa,'' ujarnya.
Ismail Sabri berkata, usaha ini bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.
''Pasukan petugas khas ini akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
''Pada masa yang sama, Jemaah Menteri juga telah membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan undang-undang di bawah “Tort of Misfeasance” ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh,'' kata beliau. - DagangNews.com
BACA JUGA : Kabinet arah siasat dakwaan Tommy Thomas mengenai salah laku badan kehakiman