Ismail Sabri saran kerajaan sedia mekanisme telus bagi laksana pemberian subsidi bersasar | DagangNews Skip to main content

Ismail Sabri saran kerajaan sedia mekanisme telus bagi laksana pemberian subsidi bersasar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Okt - Kerajaan disarankan menyediakan satu mekanisme yang telus dan cekap dalam melaksanakan pemberian subsidi bagi memastikan tiada yang tercicir serta terkesan.

 

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mekanisme itu penting bagi diperhalusi kerana subsidi telah 'melekat' dalam ekonomi sebagai komponen struktural.

 

"Subsidi kerajaan tidak hanya tertumpu kepada sektor dan segmen tertentu sahaja, malah merentas keseluruhan sektor dan pasaran termasuklah pasaran buruh.

 

"Justeru, saya ingin bertanya apakah mekanisme yang akan digunakan oleh kerjaan bagi melaksanakan subsidi bersasar pada tahun hadapan kerana ia tidak disentuh dalam pembentangan Belanjawan 2024," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera mempersoalkan keberkesanan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan digunakan Januari kerana ia akan menjadi pangkalan data bagi memastikan subsidi itu diberikan kepada golongan yang layak sahaja. 

 

"Adakah sistem ini telah diuji keberkesanannya kerana kita hanya mempunyai tempoh dua bulan sahaja sebelum ia dilancarkan.

 

"Persoalan seterusnya siapakah yang layak diberi subsidi bersasar? Sebagai contoh, jika dilaksanakan subsidi petrol secara bersasar, bagaimana kerajaan akan menentukan ciri-ciri mereka yang layak?," katanya.

 

Beliau berkata, sewaktu menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, pihaknya mencadangkan supaya kenderaan mempunyai enjin kapasiti 2000cc ke bawah boleh dapat subsidi, tapi akhirnya pelbagai pandangan dan cadangan daripada rakyat, banyak kereta mewah mempunyai  enjin kapasiti 2000cc ke bawah. 

 

"Sebagai contoh, orang kampung membeli kereta Volvo tapi kuasa enjinya 3000cc, jadi berdasarkan kapasiti kereta Volvo tersebut, mereka tidak boleh mendapat subsidi. 

 

"Terdapat banyak masalah yang timbul dan akhirnya perkara ini telah ditangguhkan.

 

"Pelaksanaan subsidi bersasar tanpa mekanisme yang tepat akan menyebabkan rakyat terus terbeban apatah lagi kos sara hidup semakin meningkat," katanya. - DagangNews.com