KUALA LUMPUR 24 Nov - RHB Research menjangkakan isu kekurangan tenaga pekerja yang dihadapi Matrix Concepts Holdings Berhad akan selesai dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Firma itu menjangkakan sekitar 400 pekerja pembinaan tiba pada Disember 2022 atau Januari 2023 dan kerja-kerja pembinaan dijangka terus mencatatkan kemajuan pada 4QFY23.
Katanya, kumpulan itu berada di landasan terbaik untuk mencapai sasaran jualan RM1.3 bilion selepas kejayaannya merekodkan jualan RM661.9 juta pada 1HFY23.
"Keputusan kewangan bagi suku tahun berkenaan terus terkesan akibat isu kekurangan tenaga kerja menyebabkan hasil kumpulan agak mendatar.
"Selain itu, sumbangan daripada segmen pembangunan industri adalah lebih rendah berbanding suku tahun sebelum ini kesan daripada inventori yang terhad di Sendayan Tech Valley yang semakin hampir siap," katanya dalam satu ota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, jualan hartanah baharu mencapai RM352.7 juta berbanding RM309.2 juta pada 1QFY23 dengan projek di Sendayan dan Bandar Seri Impian kekal diterima baik walaupun berdepan beberapan kenaikan kadar faedah tahun ini.
Katanya, kadar pengambilan untuk projek baharu sangat menggalakkan termasuk Hijayu Residence Fasa 2 Parcel 1 (47% terjual), Bayu Sutera 4 Presint 1A (39% terjual), Tiara Sendayan 13 P14B (100% terjual), dan Iraman Sendayan 1 (76 % terjual).
"Kumpulan itu baru sahaja melancarkan projek M333 St. Kilda (GDV: RM245 juta) pada Mei 2022 dan difahamkan sudah 23% terjual.
"Sementara itu, projek Menara Syariah di Jakarta berada di landasan yang betul untuk disiapkan pada 4QFY23 dan ia tidak terjejas oleh gempa bumi baru-baru ini di wilayah Jawa Barat," katanya.
Firma itu mengekalkan sarnaan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.75 berbanding RM1.88 sesaham sebelum ini. - DagangNews.com