Isu kelewatan pembinaan OPV terus membayangi kerajaan dalam memperkasakan fungsi APMM | DagangNews Skip to main content

Isu kelewatan pembinaan OPV terus membayangi kerajaan dalam memperkasakan fungsi APMM

OPV 1 APMM yang berjaya diserahkan Januari lalu.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 15 Feb - Hari ini Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyambut ulang tahun penubuhan ke-19 dengan mencatatkan banyak kejayaan sebagai pelindung maritim negara.

 

Ia telah melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan sebaiknya dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan tanahair.

 

Dengan tema sambutan Maritim Perkasa Melestarikan Madani, APMM sebagai pelindung perairan negara berjaya membendung kerugian puluhan bilion ringgit disebabkan jenayah maritim.


 

{"preview_thumbnail":"/sites/default/files/styles/video_embed_wysiwyg_preview/public/video_thumbnails/7335748423716523266.jpg?itok=vaJBd8-W","video_url":"https://www.tiktok.com/@dagangnews/video/7335748423716523266?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=7311572550281184769","settings":{"responsive":1,"width":"854","height":"480","autoplay":1},"settings_summary":["Embedded Video (Responsive, autoplaying)."]}

 


Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-19 APMM diraikan secara gilang gemilang di Akademi Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

 

Turut hadir Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin.

 

APMM berperanan melindungi empat sektor penyumbang ekonomi maritim iaitu perikanan, pelancongan, perkapalan dan hidrokarbon agar selamat. 

 

APMM
Shamsul Anuar bersama Hamid semasa hadir pada majlis sambutan hari ulangtahun APMM di Kuantan.

 

 

Bersama-sama pasukan keselamatan lain, agensi ini turut meningkatkan pelaksanaan operasi bersepadu bagi memastikan perairan negara kekal selamat dari pelbagai ancaman jenayah.

 

Sepanjang tahun lalu lebih 181,000 pemeriksaan, 43,000 penggeledahan dan 1,200 tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan yang dilakukan APMM di kawasan perairan negara. 

 

APMM

 

APMM

 

Manakala nilai rampasan yang berjaya dikutip sepanjang tahun 2023 adalah kira-kira RM101.9 juta.

 

Bagi operasi mencari dan menyelamat, sebanyak 237 operasi telah dilakukan melibatkan pelbagai insiden di laut pada tahun yang sama. 

 

Daripada jumlah berkenaan, seramai 1,369 mangsa telah berjaya diselamatkan oleh agensi ini.

 

Justeru, keputusan kerajaan menubuhkan agensi penguatkuasaan maritim tunggal ini dilihat bijak apabila agensi itu berjaya memainkan fungsinya.

 

Bagaimana pun, rekod cemerlang APMM ini pasti berkali ganda sekiranya agensi itu menerima ketiga-tiga buah kapal peronda luar pesisir pantai (OPV) yang ditempah 7 tahun lalu.

 

APMM
Peranan APMM sebagai agensi penguatkuasaan maritim tunggal negara penting dalam mengelakkan kebocoran sumber ekonomi.

 

Kerana kelewatan itu, rancangan kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memperkasa fungsi APMM terencat.

 

Hanya satu daripada tiga buah OPV telah disiapkan, itu pun setelah berdepan dengan beberapa kali penangguhan penghantaran.

 

Mengikut kontrak, OPV 1 sepatutnya diserahkan pada tahun 2020 manakala kapal terakhir tiga tahun lalu.

 

Kabinet pada Januari tahun lalu terpaksa meluluskan suntikan pinjaman RM152.6 juta bagi projek OPV 1 yang mana langkah itu terpaksa dilakukan bagi menyiapkan projek berkenaan.

 

APMM

 

Setelah tertangguh empat kali, OPV 1 secara rasminya diserahkan oleh pihak TH Heavy Engineering Berhad (THHE) kepada KDN awal bulan lalu.

 

Projek OPV diambil alih Kementerian Kewangan daripada syarikat Tabung Haji iaitu Destini Berhad selepas ia dikesan menghadapi masalah besar.

 

Sepertimana ditegaskan kerajaan Madani, perkara tentang perolehan untuk keselamatan tidak boleh dikompromi, apatah lagi jika sehingga menyebabkan kerugian disebabkan pelaksanaan lemah.

 

Sehingga kesemua kapal disiapkan, sama ada suka atau tidak isu kelewatan menyiapkan dua buah OPV ini akan terus membayangi KDN dan APMM. - DagangNews.com