KUALA LUMPUR 19 Jan - Pemulihan industri penerbangan Malaysia berisiko diganggu isu lebihan kapasiti dengan pemberian lesen perkhidmatan udara (ASL) kepada dua buah syarikat penerbangan baharu baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail berkata, meskipun lebih banyak penawaran bakal memanfaatkan pengguna dalam jangka masa pendek, ia mungkin tidak begitu lestari untuk kemampanan industri dalam jangka panjang.
“Pembuat polisi perlu jelas dengan apa yang ingin dilakukan, sama ada kita mahu membanjiri pasaran dengan kapasiti dan membuka pasaran untuk semua atau mahu memberi peluang kepada syarikat penerbangan membuat keuntungan.
“Tidak masuk akal untuk kita ingin melihat syarikat seperti AirAsia dan Malaysia Airlines hari ini berebut untuk kekal bertahan pasca COVID-19, penambahan kapasiti akan membuatkan keadaan semakin buruk.
“Malaysia memiliki jumlah penduduk 32 juta orang, kenapa kita perlukan sebegitu banyak syarikat penerbangan di pasaran? Pada masa sama, kemudahan infrastruktur negara terus bertambah baik dengan projek kereta api berkelajuan tinggi serta Lebuhraya Pan Borneo yang bakal siap tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pelancaran kempen kembara 'Sia Sitok Sarawak Plus' dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) di Akademi Malaysia Airlines, Petaling Jaya hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dennis Ngau dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sharzede Datu Salleh Askor.
Media sebelum ini melaporkan pemberian ASL kepada SKS Airways Sdn. Bhd. dan MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline), membolehkan kedua-dua syarikat tersebut menjalankan menjalankan perkhidmatan penumpang udara dan kargo berjadual.
Menurut Izham, masih terlalu awal bagi beliau memberi sebarang kenyataan mengenai MyAirline, memandangkan struktur, pelan perniagaan dan objektif syarikat tersebut belum didedahkan.
“SKS pula sangat jelas, saya lihat mereka cuba masuk pada lokasi yang kurang atau tiada perkhidmatan penerbangan seperti di Pulau Redang dan saya rasa ini satu cadangan yang sangat baik,” ujarnya. - DagangNews.com